Berita Hari Ini
Like

Pelan Tangani Keresahan Rakyat Perlu Diwujudkan – Muhyiddin

October 24, 2020
445 Views
0 Comments
1 minute read
Pelan Tangani Keresahan Rakyat Perlu Diwujudkan – Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan keperluan mewujudkan Pelan Jangka Masa Sederhana-Panjang dengan lebih terperinci bukan sahaja untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat dan ekonomi negara, tetapi juga bagi menangani keresahan rakyat.

Bernama melaporkan perkara itu ditekankan di dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara sidang video berkenaan COVID-19 yang dipengerusikan beliau hari ini.

Menurut kenyataan yang dipaparkan di Facebook Muhyiddin, Perdana Menteri sedar keresahan rakyat menghadapi situasi pandemik COVID-19 pada masa ini masih belum reda, yang menyebabkan kebergantungan kepada kerajaan semakin tinggi.

Mengakui senario menguruskan COVID-19 sekarang telah berubah, Muhyiddin mengajak semua ahli mesyuarat MKN untuk lebih fokus dalam usaha memerangi wabak itu serta membuktikan Malaysia pasti akan menang melawan pandemik berkenaan.

“Beliau turut mengingatkan ahli mesyuarat supaya lebih teliti dalam membuat keputusan untuk menguruskan COVID-19 dengan lebih berkesan.

“Setiap keputusan yang dibuat mestilah difahami manfaat, risiko dan kesannya kepada kesihatan dan ekonomi rakyat,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat harian yang diadakan secara sidang video telah bermula sejak 7 Okt lepas.

Malaysia mencatatkan 710 kes baharu COVID-19 semalam menjadikan jumlah terkumpul 24,514 kes. Terdapat 10 kematian direkodkan semalam, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 214 kes. 

Comments are closed.