Berita Hari Ini

Pemimpin DAP bidas Hamzah, Putrajaya atas lonjakan kes Covid-19 di penjara

PETALING JAYA: Bekas timbalan menteri pertahanan, Liew Chin Tong mengkritik Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dan Putrajaya akibat lonjakan kes Covid-19 di penjara.

Katanya, kerajaan persekutuan perlu memberi perhatian serius terhadap isu kesesakan dalam penjara untuk membendung penularan Covid-19 dan beliau bersama beberapa pemimpin pernah membangkitkan isu itu sejak April lalu.

Pengerusi DAP Johor itu berkata, Putrajaya mempunyai masa mencukupi untuk menangani isu kesesakan dalam penjara sejak 6 bulan lalu, malangnya tiada tindakan drastik diambil Hamzah dan kerajaan persekutuan.

Beliau juga bersetuju dengan pandangan bekas timbalan menteri dalam negeri, Nur Jazlan Mohamed yang mendakwa Hamzah tidak cekap menjalankan tugasnya sehingga menyebabkan ramai tahanan dan kakitangan penjara dijangkiti virus itu.

“Saya setuju dengan pandangan Nur Jazlan bahawa Hamzah lebih suka bermain politik daripada menjalankan tanggungjawab menyelesaikan masalah yang timbul, ekoran wabak Covid-19 terhadap agensi-agensi di bawah kawal selia Kementerian Dalam Negeri.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa banduan juga adalah manusia dan pegawai penjara turut dijangkiti Covid-19. Apa yang sedang berlaku di dalam penjara akan memberi kesan kepada komuniti di luar.

“Wabak Covid-19 boleh merebak kepada masyarakat di luar kompleks penjara, sekiranya penularan di dalam penjara tidak dikawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Nur Jazlan dilaporkan mendakwa Hamzah tidak cekap menjalankan tugas sehingga menyebabkan penularan Covid-19 bertambah teruk, khususnya jangkitan dalam kalangan penghuni penjara di seluruh negara.

Katanya, kesesakan dalam penjara dan kelemahan pengurusan oleh kementerian menyebabkan Covid-19 dengan mudah tersebar ke beberapa pusat tahanan sehingga dikategorikan sebagai zon merah.

Semalam, Malaysia mencatatkan rekod baru dengan 1,228 kes Covid-19 dilaporkan. Daripada jumlah itu, 502 kes daripada kluster Tembok, Penjara Kepayan, Penjara Seberang Perai dan Penjara Reman.

Malah, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun dilaporkan berkata, Penjara Pusat Kota Kinabalu menghadapi masalah kesesakan akibat lebihan kapasiti sehingga 81% daripada jumlah ditetapkan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");