Perak Hari Ini

Perak Giat Usaha Pemutihan Petani Kecil

GOPENG –Perak sedang giat memulakan proses pemutihan para petani kecil yang meneroka tanah kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di seluruh negeri sejak beberapa bulan lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan negeri sedang mewujudkan hubungan menang-menang antara dua pihak tersebut dan antara usaha dilakukan adalah dengan mewujudkan kaedah perjanjian sewa atau pajakan tanah.

Jelas beliau, sekiranya tanah itu perlu diambil untuk dibangunkan maka kerajaan akan membantu petani untuk mendapatkan tanah pertanian yang baharu.

“Sekiranya seorang petani telah mengusahakan sebidang tanah kecil dan mengaut keuntungan selama bertahun-tahun, saya juga merasa tidak adil untuk menghalang mereka daripada terus mengusahakan tanah tersebut.

“Tetapi pada masa yang sama, ia juga tidak adil bagi negeri dan rakyat yang lain sekiranya petani-petani tersebut terus mengusahakan ladang tanpa memberikan hasil kepada kerajaan negeri,” katanya.

Jelasnya dalam usaha tersebut selain kerajaan negeri mendapat hasil, para petani pula dapat mengutip hasil mata pencarian.

Walau bagaimanapun Ahmad Faizal menegaskan inisiatif tersebut hanya menyasarkan golongan petani kecil dan bukan kepada ‘peneroka korporat’.

“Bagi syarikat yang telah meneroka tanah kerajaan negeri atau GLC negeri seluas beratus ekar selama bertahun-tahun tanpa menyumbang sebarang hasil kepada kerajaan, tindakan akan diambil.

“Adalah tidak adil untuk mereka mengaut keuntungan jutaan ringgit setahun, tetapi tidak membayar sebarang hasil kepada kerajaan negeri sekali gus menafikan hak rakyat untuk mengusahakan tanah itu secara sah. Saya menganggap perbuatan ini sebagai pelanggaran undang-undang yang serius,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Pemprosesan Dan Pengumpulan Nanas Gopeng Pineapple (Gopine) oleh Syarikat Gopeng Berhad di RTC Gopeng, pada Khamis.

Sementara itu, Menteri Besar berkata beliau telah mengarahkan semua GLC dan agensi kerajaan negeri untuk mengusahakan tanah terbiar yang dimiliki bagi meningkatkan sekuriti makanan negeri.

“Kerajaan negeri juga secara aktif melihat potensi memajukan tanah bekas lombong sebagai tanah kawasan pertanian.

“Kita telah dihubungi oleh beberapa orang pakar dalam bidang pertanian yang mencadangkan teknologi-teknologi yang sesuai untuk memulihkan tanah-tanah ini. Kita sudah mulakan beberapa projek perintis dan salah satunya di Tanjung Tualang,” katanya.

Pada masa sama beliau menggesa agar semua pihak dapat memberi penumpuan terhadap teknologi moden dalam pertanian.

“Dengan teknologi moden, hari ini kita boleh menanam sayur di dalam bangunan dan ia boleh mencapai ketinggian sehingga 14 tingkat.

“Bayangkan jika ia dilaksanakan di bangunan-bangunan terbiar di Bandaraya Ipoh? Kita pasti akan dapat melahirkan lebih ramai petani moden yang berjaya,” ujarnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");