Perak Hari Ini

Perak Mahu Bawa Pulang Piala Malaysia

IPOH – Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yakin skuad The Bos Gaurus bakal menjuarai saingan Piala Malaysia yang akan membuka pintu gelanggangnya 6 November nanti.

Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sasaran tersebut diletakkan berdasarkan keserasian dan kecergasan pemain yang semakin baik.

“Kita mahu membawa balik Piala Malaysia. Saya yakin ianya akan berjaya kerana sebelum ini saya mendapati pada musim lalu kita bermula dengan baik, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ia memberi kesan kepada pasukan.

“Misalnya pada perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mana Perak tewas 7-0. Saya mendapati pada 20 minit terawal kita sudah bermain dengan baik namun selepas itu stamina pemain mungkin tidak mencukupi.

“Dan saya nampak ia membawa kepada penghujung liga yang mana kecergasan pemain telah kembali dan mereka dapat memberikan saingan kuat kepada Kedah walaupun meraih Naib Juara Liga Super.

“Kini keserasian dan keserasian pemain sudah kembali. Justeru saya meletakkan sasaran untuk kita membawa Piala Malaysia ke Perak,” katanya.

Tambahnya lagi, persediaan para pemain juga baik selain beberapa pemain yang mengalami kecederaan pada perlawanan sebelum ini dilihat sudah kembali pulih.

Katanya skuad The Bos Gaurus akan memberi cabaran yang hebat kepada kesemua pasukan yang akan bertanding dalam Piala Malaysia musim ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Pasukan Hoki dan Kriket Perak di Galasa Caldwell, dekat sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak meraikan Pasukan Hoki negeri yang berjaya menjulang trofi Piala Tun Abdul Razak untuk kali ke-10 serta Pasukan Kriket Negeri yang telah menjuarai Kejohanan Kriket MCA T20 & T50 Over Liga Antara Negeri tahun ini.

Dalam pada itu katanya dua pemain Sukan Malaysia (SUKMA) dalam skuad hoki negeri telah terpilih untuk menyertai projek khas kebangsaan sementara enam yang lain telah terpilih untuk menyertai skuad senior kebangsaan.

Bagi Pasukan Kriket Perak, Ahmad Faizal berkata 13 pemain telah berjaya mewakili negara dalam peringkat senior dan junior.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian kedua-dua pasukan. Walaupun mereka tidak berlatih akibat PKP namun mereka berjaya mengekalkan kecergasan dalam jangka sama yang singkat.

“Insentif yang kerajaan sampaikan kepada mereka ini diharap mampu menjadi pendorong buat mereka meneruskan kejayaan dalam pasukan masing-masing,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");