Perak Hari Ini

Perak Turunkan Had Umur Calon Ahli Dewan Negeri Kepada 18 Tahun

IPOH – Perak meluluskan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (Bahagian Pertama) ( Pindaan 2020) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Pindaan Rang Undang-undang terhadap Perkara 30 Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri itu membabitkan penurunan umur kelayakan calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun, selaras dengan pindaan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang berkuatkuasa 11 September tahun lalu.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan mendapat sokongan 59 ADUN yang hadir selepas ia dibahaskan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata antara rasional pindaan enakmen itu adalah bagi memberi ruang kepada golongan belia untuk bergiat aktif serta meningkatkan penyertaan mereka dalam politik demi pembangunan negeri.

Selain itu katanya ianya juga dapat dijadikan usaha dalam mengetengahkan suara anak muda dalam pembuatan dasar dan perundangan negeri.

“Antara lain juga dengan pindaan enakmen ini ia dapat membantu belia mempertingkatkan literasi demokrasi dan kematangan melalui pendedahan kepada pengurusan tadbir urus negeri serta membangunkan pelan pewarisan kepimpinan,” jelas beliau.

Untuk rekod, pada tahun lalu Parlimen meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur minimum mengundi dan menjadi calon pilihan raya daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Secara keseluruhannya, terdapat tujuh ADUN yang membahaskan rang undang-undang itu antaranya Muhamad Arafat Bin Varisai Mahamad (PKR – Hulu Kinta); Jamilah Zakaria (BN – Trong); Jenny Choy (DAP – Canning); Aminuddin Zulkipli (AMANAH – Behrang); Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (BN – Pangkor); Howard Lee (DAP- Pasir Pinji) serta Tan Kar Hing (PKR- Simpang Pulai).

Ketika sesi pergulungan, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang berkata kerajaan negeri mengambil perhatian terhadap semua cadangan yang diutarakan pembahas termasuk mengaktifkan lagi persidangan Dewan Belia Perak.

“Saya tertarik dengan pencelahan oleh Hulu Kinta untuk kita mempertingkatkan usaha bagi menarik minat lagi golongan muda terhadap politik.

“Saya berpandangan sekiranya kita dapat berbahas dalam Dewan ini dengan baik lebih ramai anak muda di luar sana yang akan berminat untuk mengambil bahagian dalam politik,” katanya.

Persidangan Mesyuarat Kedua, Tahun Ketiga, DUN Perak Ke-14 yang berlangsung hari ini berjalan lancar walaupun terdapat sedikit kekecohan sebelum ia berjaya diredakan Speaker, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Dalam persidangan sama, Menteri Besar mengusulkan penangguhan persidangan dewan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak dan ianya dipersetujui.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");