Berita Hari Ini

Percepat ujian Covid-19 untuk kekang wabak, kata ahli Parlimen

Pegawai kesihatan digesa mempercepatkan ujian Covid-19 berikutan peningkatan jumlah jangkitan kes baharu yang dilaporkan minggu ini.

Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye, berkata keputusan ujian perlu tersedia dalam tempoh 24 jam. Keputusan yang pantas akan membantu memastikan kontak rapat dikuarantin dengan segera.

Lee mengulas laporan mengatakan seorang wartawan di Sabah mengetahui keputusan ujiannya hanya selepas 6 hari.

Katanya, kelewatan akan menyebabkan kontak rapat yang tidak dapat dikesan menyebarkan jangkitan.

Lee juga menyeru agar lebih banyak makmal dibuka supaya ujian saringan harian kepada komuniti boleh dilaksanakan.

“Untuk itu, Kementerian Kesihatan perlu menggerakkan lebih banyak petugas kesihatan, dengan lebih banyak pengangkutan tersedia untuk membawa ujian. Lebih banyak peralatan diperlukan,” kata Lee, yang merupakan timbalan menteri kesihatan pada pentadbiran lepas.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad Al-Bakri, disahkan positif Covid-19, selepas menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN). Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan menteri lain akan menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing.

Ahli politik lain juga dijangkiti, antaranya Adun di Selangor, Kedah, dan Melaka.

Dalam pada itu, Lee berkata Kementerian Kesihatan mesti membuat keputusan tentang penutupan kawasan lain dengan segera.

Mengulas kenyataan menteri bahawa 1% orang yang diuji terbukti dijangkiti, Lee berkata “1% adalah perkara yang serius” kerana ia boleh mencecah sehingga 35,000 kes di Sabah, yang memiliki populasi 3.5 juta itu.

Katanya, ujian perlu diperluas sebanyak mungkin di 3 negeri yang paling teruk terjejas iaitu Sabah, Kedah, dan Selangor.

Lee juga mendesak pihak berkuasa menyiarkan data dalam bentuk peta menggunakan sistem maklumat geografi untuk menunjukkan kawasan hotspot. “Kementerian perlu lebih telus dengan masyarakat,” tambahnya.

Katanya, kuarantin kendiri wajib selama 14 hari perlu dikenakan kepada sesiapa sahaja yang tiba dari Sabah.

“Sekiranya Sarawak boleh kenakan kuarantin 2 minggu kepada semua orang yang memasuki negeri itu, mengapa tidak kita ketika kes di Sabah dikesan semasa kempen pilihan raya negeri (PRN)?” katanya.

Tempoh kempen PRN Sabah adalah pada 12-25 September, dengan hari mengundi pada 26 September.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");