Berita Hari Ini

PKPB Klang: K’jaan PN ‘Tak Kompeten, Tak Profesional’ – Teng

Exco kerajaan negeri Selangor, Teng Chang Khim membidas cara pengendalian kerajaan persekutuan Perikatan Nasional (PN) berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Klang yang didakwanya dilakukan dengan cara yang tidak kompeten dan tidak profesional.

“Kerajaan persekutuan telah mengumumkan PKPB di Klang semalam tanpa berunding terlebih dahulu dengan kerajaan negeri Selangor dan tanpa memberi butir-butir seperti kawasan tertentu yang akan terjejas.

“Menteri yang membuat pengumuman itu tidak tahu bahawa daerah Klang dan Majlis Perbandaran Klang mempunyai bidang kuasa tempatan yang berbeza.

“Sebahagian besar Majlis Bandaraya Shah Alam juga berada di bawah daerah Klang,” kata Teng, yang juga adalah Adun Bandar Baru Klang dalam satu catatan Facebooknya hari ini.

 

Teng yang memegang portfolio Pelaburan, Industri, Perdagangan dan Industri Kecil dan Sederhana berkata, bahawa kerajaan negeri Selangor telah bertindak pantas apabila menerima berita mengenai PKPB di Klang petang semalam dengan meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri untuk memberikan perincian PKPB hari ini.

“Bagaimanapun, ada lewat petang semalam, Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) mengarahkan mesyuarat MKN hari ini diadakan pada pukul 11 pagi yang memerlukan kehadiran semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Ini mengganggu rancangan kerajaan negeri untuk mengadakan pertemuan MKN peringkat negeri untuk mengatasi semua masalah yang mungkin timbul akibat PKPB,” katanya.

Tanpa menapis kata-katanya, Teng berkata, adalah tidak dapat dibayangkan bahawa kerajaan persekutuan bertindak begitu tidak kompeten dan tidak profesional walaupun telah memperolehi pengalaman semasa pelaksanaan PKPB, baru-baru ini.

Penguatkuasaan PKPB bermula tengah malam ini diputuskan oleh MKN semalam dan diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob pada jam 4 petang.

Sementara itu, Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri akan bekerjasama sebaik mungkin dengan semua agensi bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Katanya, bagi tujuan penyelarasan dan keseragaman maklumat, MKN akan mengumumkan perincian pelaksanaan PKPB di Klang.

“Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya mewakili saya bagi mempengerusikan mesyuarat penyelarasan PKPB Daerah Klang pagi tadi.

“Selepas mendapat maklum balas daripada pelbagai agensi dan jabatan, kerajaan negeri menyampaikan segala maklum balas dan cadangan berkaitan pelaksanaan PKPB (dengan beberapa ubah suai) kepada sidang khas MKN bersama perdana menteri secara maya jam 11 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amirudin berkata, kerajaan negeri juga akan terus mengadakan saringan bersasar Covid-19 di zon merah sebagai langkah lanjutan bagi mengawal perebakan wabak ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");