Berita Hari Ini

Polis Lepas Dua Tembakan Dalam Serbuan Rumah Di Sungai Siput

IPOH – Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta yang dipandu lelaki disyaki pengedar dadah, selepas cuba melarikan diri dalam serbuan di sebuah rumah di Salak Baru, Sungai Siput pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, serbuan dijalankan dua pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sungai Siput dan Kuala Kangsar kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Katanya tembakan itu dilepaskan, bagi mempertahankan diri selepas suspek bertindak agresif mahu melarikan diri dengan memandu kereta secara melulu.

“Suspek yang memandu kereta jenis Proton Wira bertindak mengundurkan kereta secara melulu dan menyebabkan hampir membahayakan nyawa anggota polis.

“Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar depan dan belakang, tetapi suspek terus memecut dari tempat kejadian namun terbabas setelah melarikan diri sejauh kira-kira dua kilometer dan berjaya ditahan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam tadi.

Mohd Khaizam berkata polis turut menahan tiga lagi lelaki bersama dadah jenis heroin seberat 29.1 gram bernilai RM1,500, dalam serbuan di rumah berkenaan.

“Tiga suspek ditahan dalam rumah itu manakala seorang lagi dalam kereta berkenaan,” katanya.

Katanya pemeriksaan mendapati kesemua suspek yang berusia lingkungan 40-an mempunyai rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");