Berita Hari Ini

Rakyat Meluat Ahli Politik Bercakaran Rebut Kuasa – Sultan Selangor

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan baginda berhubung kemelut politik negara yang dilihat tiada berkesudahan sehingga menimbulkan keresahan rakyat.

Titah baginda, rakyat telah mula bosan dan meluat dengan segala tindak-tanduk ahli politik yang sentiasa dilihat bercakaran dan bertelingkah dalam merebut kuasa pemerintahan negara.

Baginda juga dukacita kerana kebanyakan ahli-ahli politik seolah-olah tidak mempedulikan langsung masalah dan kesusahan rakyat yang terkesan akibat gejala wabak Covid-19 dan ditambah pula dengan kedudukan ekonomi rakyat yang amat terjejas.

”Ahli-ahli politik seharusnya bertanggungjawab di dalam memastikan penderitaan rakyat ini sentiasa menjadi keutamaan ketika melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka.

”Kesusahan dan penderitaan rakyat di dalam kehidupan seharian perlu segera ditangani dan diselesaikan dengan mengambil pendekatan yang drastik dan efektif,” titah baginda yang mengambil maklum dan menyokong penuh kenyataan media yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah baru-baru ini.

Dalam kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong menasihati ahli-ahli politik untuk bermuhasabah agar negara ini tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan negara masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman wabak Covid-19.

Oleh yang demikian, Sultan Selangor mahu semua pihak terutama ahli-ahli politik di negara ini sentiasa bekerjasama tanpa mengira pendirian parti masing-masing dan sentiasa fokus di dalam membantu rakyat dan negara dalam menangani penyebaran wabak Covid-19 dan membina semula ekonomi negara yang teruk terjejas. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");