Perak Hari Ini

Remaja Perempuan Antara ‘Geng Farid Temara’, Terlibat 19 Kes Curi Motosikal Di Ipoh

IPOH – Seorang remaja perempuan antara lima yang ditahan polis kerana disyaki terlibat dengan 19 kes berkaitan kecurian motosikal di sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata suspek berusia 20 tahun yang terlibat dengan ‘Geng Farid Temara’ itu bertindak sebagai individu yang mencari sasaran motosikal serta sebagai peninjau bagi memerhati kehadiran pemilik mahupun pihak polis di lokasi.

Katanya geng tersebut telah aktif sejak enam bulan lalu dan kesemuanya yang berumur antara 20 ke 30 tahun itu tidak bekerja.

Jelas beliau kesemua empat lelaki dan seorang wanita itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah kecuali ketua kumpulan tersebut yang juga merupakan teman lelaki kepada wanita tersebut.

“Mereka telah ditangkap di tiga lokasi berasingan di sini antara 6 sehingga 9 Oktober. Kita tidak menolak kemungkinan kegiatan mereka ini juga terlibat dengan aktiviti lumba motosikal haram,” katanya.

“Modus operandi mereka adalah membuang rangka dan komponen motosikal curi yang tidak diperlukan ke dalam lombong di sekitar bandar raya ini,” katanya.

Tambahnya pihak polis berjaya mengesan dan merampas tiga rangka motosikal yang dibuang ke sebuah lombong di kawasan Pasir Puteh di sini pada 6 Oktober lalu.

Jelasnya motosikal jenis Honda EX5 merupakan sasaran kumpulan penjenayah tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 3791 Kanun Keseksaan selain kesemua mereka sedang direman 21 hari di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 (POCA).

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Asmadi turut memaklumkan kejayaan pihak polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pecah kereta di sekitar Ipoh.

Katanya lelaki yang mempunyai 13 rekod jenayah lampau berkaitan kecurian dan dadah itu telah melakukan 25 kes pecah kereta sejak Julai tahun ini.

“Pada 15 Oktober, suspek telah ditahan di Flat Waller Court dan hasil soal siasat, pihak polis kemudiannya berjaya menahan seorang lagi lelaki berumur antara 25 ke 30 yang bertindak sebagai pembeli barangan yang dicuri suspek,” kata Asmadi.

Tambah beliau suspek disyaki terlibat dengan kegiatan pecah kereta di sekitar Restoran Plan B pada 30 September yang mengakibatkan mangsa kehilangan komputer riba dan pelbagai barangan peribadi.

“Modus operandi suspek adalah menjual barangan yang dicuri sama ada secara terus kepada pembeli ataupun di Pasar Karat, dekat sini.

“Kita menasihatkan agar orang ramai tidak membeli barangan yang dicuri kerana ianya merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” tegas beliau.  

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");