Perak Hari Ini

Rungutan Pemuda MCA Dan MIC Perak Akan Dibincangkan – Saarani

IPOH – Barisan Nasional (BN) Perak akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri berhubung laporan Pergerakan Pemuda MCA dan MIC Perak yang mendakwa dianaktirikan dalam pentadbiran negeri.

Justeru Pengerusi BN Negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata rungutan tersebut harus diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

“Apa yang diluahkan mereka, saya sebagai Pengerusi BN Negeri saya kena berbincang dengan kerajaan negeri supaya dapat memberikan perhatian terhadap kelompok ini.

“Saya akan memaklumkan perkara itu  dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang akan datang,” katanya.

Kelmarin sebuah portal berita melaporkan Pergerakan Pemuda MCA dan MIC Perak mendakwa mereka telah diketepikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam kerajaan negeri.

Ketua Pemuda MCA Daniel Wa Wai How dan Ketua Pemuda MIC, S Jayaganes dalam kenyataan bersama dilaporkan mendakwa Menteri Besar seolah-olah tidak mengiktiraf dua parti komponen BN yang mewakili masyarakat India dan Cina itu.

Saarani yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata walaupun tidak dapat memuaskan hati semua pihak namun sebagai kerajaan seharusnya meminimumkan perkara seperti itu.

“Setiap kerajaan hendaklah memberi perkhidmatan terbaik yang boleh dirasai semua lapisan masyarakat, walaupun agak mustahil kerana kita tidak dapat untuk memenuhi kehendak semua orang.

“Tetapi pada waktu sama kita harus meminimumkan perasaan tidak puas hati rakyat.

“Jadi pada saya, apa yang ditimbulkan mereka itu adalah rungutan atas apa yang dirasai mereka. Mungkin apa yang mereka rasa patut dapat tetapi tidak dapat, maka itu mereka suarakan,” jelasnya.

Terdahulu Saarani hadir ke Majlis Penghargaan Kepada Sukarelawan peralatan perlindungan diri (PPE) oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Perak, di Hotel Kinta Riverfront dekat sini, hari ini.

Katanya ia diadakan sebagai menghargai usaha 130 kakitangan KEMAS Perak bersama-sama 54 sukarelawan yang lain dalam menyediakan PPE untuk petugas barisan hadapan sewaktu negara dilanda COVID-19 awal tahun ini.

“Saya yakin mereka juga bersedia dari segi tenaga sekiranya diperlukan negara dalam menyiapkan PPE untuk kegunaan pada masa akan datang,” tambah beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");