Perak Hari Ini

Saarani Nafi Dakwaan Terima Sokongan Yang Cukup Untuk Menjadi MB Perak

IPOH – Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad menafikan dakwaan beliau menerima sokongan yang cukup untuk dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, sokongan yang kononnya diperolehi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas, PKR dan DAP itu tidak pernah berlaku sama sekali.

“Saya sebenarnya tidak ada komen khusus berkaitan perkara itu kerana laporan terbabit sama sekali tidak benar, tidak ada sesiapapun yang jumpa saya, menawarkan diri atau menghasut saya.

“Kalau betul ada, saya akan cakap ada kalau tidak maka tidaklah, tak perlu pening-pening.

“Ini semua khabar angin sahaja. Cerita tu tak ada. Tak ada siapa tawar kepada saya tiada siapa menghasut saya,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Perak itu, dakwaan dan khabar angin sedemikian sama sekali tidak menjejaskan hubungan kerjasama antara parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.

“Saya dalam Mesyuarat Exco duduk sebelah kanan menteri besar, saya tengok dia dan dia tengok saya, tak ada masalah apa pun.

“Setiap kali mesyuarat berlangsung, kita memberi perhatian kepada usaha kerajaan negeri dan jika ada perkara tidak puas hati dalam politik, ia dibincang dalam platform politik,” katanya.

Sebuah portal tempatan hari ini mendakwa Perak bakal menyaksikan pertukaran Menteri Besar dalam tempoh terdekat sekiranya hubungan kurang baik Ahmad Faizal dengan Pengerusi UMNO Perak tidak dapat dipulihkan.

Laporan yang memetik sumber dalaman UMNO itu menyatakan bahawa Saarani telah mempunyai cukup sokongan untuk menjatuhkan Ahmad Faizal menerusi Pas yang mempunyai tiga kerusi dan juga empat wakil rakyat PKR dan DAP.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");