Berita Hari Ini

Saksi beritahu diberi izin guna cek Yayasan Akalbudi bayar kad kredit Zahid

Bekas setiausaha eksekutif Ahmad Zahid Hamidi, Mejar Mazlina Mazlan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa Presiden Umno itu memberikan kebenaran kepadanya menggunakan cek Yayasan Akalbudi untuk membayar penyata kad kredit Ahmad Zahid.

Ketika pemeriksaan balas, Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran meminta Mazlina yang merupakan saksi pendakwaan ke-90 itu mengesahkan berkenaan kebenaran penggunaan cek Yayasan Akalbudi.

Raja Rozela: Datuk Seri (Zahid) tak pernah bagi kebenaran untuk guna cek Yayasan Akalbudi. Awak jawab tak setuju. Kenapa?

Mazlina: Kerana datuk seri membenarkan.

Raja Rozela: Dan kamu pasti datuk seri benar (beri) kebenaran bayar kad kredit?

Mazlina: Ya.

Perbicaraan dilakukan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Terdahulu hari ini, Mazlina memberitahu bahawa jumlah dalam akaun bulanan Yayasan Akalbudi dianggarkan sekitar ratusan ribu sehingga jutaan ringgit.

Dia berkata demikian ketika disoal oleh peguam Lee Keng Fatt dari pihak pendakwaan berhubung jumlah akaun semasa dalam Yayasan Akalbudi pada Jun 2016.

Mazlina berkata penyata tersebut turut diserahkan kepada Zahid untuk disemak sebanyak satu atau dua kali setahun sebagai pemeriksaan mengejut (spot check).

Untuk rekod, sebelum ini pihak pembelaan mendakwa Mazlina sering melakukan kesilapan seperti menghantar cek kosong (tanpa tandatangan) kepada bank sehingga menyebabkan cek tersebut dipulangkan semula.

Bagaimanapun, ketika disoal mengenai kesilapan kemasukan cek oleh Mazlina ketika berkhidmat untuk Zahid, Mazlina hanya menjawab dia tidak perasan terdapat kesilapan.

Zahid Hamidi berhadapan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT) melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Dalam CBT, dia dituduh menyeleweng RM31 juta dana Yayasan Akalbudi – yang mana dia merupakan pengasas, pemegang amanah, dan penandatangan tunggal.

Melalui jejak aliran tunai yang dibentangkan kepada mahkamah sebelum ini, pihak pendakwaan cuba membuktikan bahawa satu amaun besar milik yayasan itu digunakan untuk, antara lain, membayar bil kad kredit peribadi, membeli polisi insurans kenderaan-bermotor dan membeli cukai jalan untuk kenderaan milik peribadi.

Perbicaraan akan disambung esok jam 9 pagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");