Perak Hari Ini

Salah Faham Isu Sampah, Dua Jiran Bersalaman Luar Mahkamah

IPOH: Seorang lelaki dan wanita berjiran dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ipoh di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan antara satu sama lain.

Mengikut kertas pertuduhan, Fong Kok Sing, 40 dan Chen Ching Wei, 43, didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan antara satu sama lain di No.16, Laluan Chemor Maju 16 , Taman Chemor Idaman di dalam Daerah Kinta di sini kira-kira 12 tengahari pada 30 September lalu.

Majistret, Nabihah Mohd Noor membuat keputusan membebaskan kedua-dua tertuduh selepas membenarkan permohonan peguam bela yang mewakili mereka, Ranjit Singh menyelesaikan kes mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah.

Nabihah turut menasihati kedua-duanya agar tidak mengulangi pergaduhan itu bagi mengelakkan mereka kembali ke mahkamah atas kesalahan sama.

Kedua-dua mereka telah mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela Ranjit Singh.

Ranjit bagaimanapun memberitahu mahkamah kedua-dua tertuduh bersetuju untuk menyelesaikan kes secara bersama mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah.

Difahamkan, masalah dan perselisihan faham yang terjadi adalah berpunca daripada isu pembuangan sampah di kediaman.

Sebaik prosiding selesai, kedua-duanya dilihat saling bermaafan dan bersalaman di luar mahkamah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");