Perak Hari Ini

Semua Parti Harus Sambut Baik Gencatan Politik – Ahmad Faizal

IPOH – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyambut baik gencatan politik yang diumumkan UMNO semalam dengan mahu mengutamakan agenda menangani COVID-19 dalam negara.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata malah beliau sendiri masih berpandangan sama semenjak berada dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Katanya apabila selesai sahaja tempoh pilihanraya, semua pemimpin politik harus menumpukan kepada usaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Saya kira rakyat amat menyambut baik apa juga usaha gencatan politik ini dan mereka juga mahukan para pemimpin berhenti daripada berpolitik dengan memberi fokus kepada rakyat.

“Misalnya meyakinkan rakyat terhadap usaha kerajaan dalam memutuskan rantaian COVID-19, usaha bagaimana untuk memulihkan ekonomi, membuka peluang perniagaan, peluang pekerjaan dan sebagainya.

“Saya kira semua pemimpin patut sambut baik gencatan politik ini dan saya berharap tiada lagi mana-mana pemimpin mendakwa itu dan ini selain mengambil masa Yang Dipertuan Agong untuk menghadap mendakwa mahu menubuhkan kerajaan dan sebagainya.

“Saya menyarankan semua orang dapat memberikan sokongan kepada kerajaan yang sedia ada demi kebaikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Pasukan Hoki dan Kriket Perak di Galasa Caldwell, dekat sini, hari ini.

Sementara itu ketika ditanya pemberita, Ahmad Faizal enggan mengulas lanjut kenyataan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berhubung pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim sebagai Setiausaha Politik.

Saarani sebelum ini dilaporkan mendakwa pelantikan tersebut telah membelakangi semangat muafakat yang dibina antara UMNO, PAS dan BERSATU.

Tegas Ahmad Faizal hubungan antara tiga parti tersebut dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) di Perak amat baik.

Malah beliau yang juga Menteri Besar Perak turut yakin bahawa kesemua ADUN UMNO, PAS dan BERSATU kekal utuh menyokong kerajaan negeri yang ditadbir PN.

Tambah beliau lagi dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang berlangsung semalam berjalan baik dan memberi fokus kepada meneruskan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");