Berita Hari Ini

SPR Bincang Kempen Pilihan Raya Secara Maya

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengkaji cadangan supaya kempen pilihan raya di lapangan tidak diadakan ketika negara masih berdepan penularan COVID-19, sebaliknya dilaksanakan melalui platform maya.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata perkara itu adalah yang akan dibincangkan pada Mesyuarat khas SPR bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah minggu depan.

“Kita akan lihat (cadangan itu), jika cadangan itu baik (untuk dilaksanakan),” katanya kepada BH, hari ini.

Hari ini, BH melaporkan mengenai saranan beberapa ahli akademik supaya SPR tidak membenarkan kempen di lapangan bagi mana-mana pilihan raya yang akan berlangsung ketika negara berdepan ancaman COVID-19.

Kempen pilihan raya sebaliknya boleh dibuat menerusi platform maya seperti di media sosial atau media arus perdana, selain menggunakan apa saja teknologi komunikasi sedia ada, dengan PRK Batu Sapi boleh dijadikan medan ujian bagi melaksanakan kempen dalam norma baharu itu.

Selain itu, Abdul Ghani berkata, mesyuarat itu juga akan membincangkan langkah bagi memperketat prosedur operasi standard (SOP) bagi PRK berkenaan, susulan ketidakpatuhan segelintir pihak kepada SOP yang ditetapkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, baru-baru ini.

Negara ketika ini berdepan peningkatan kes COVID-19, yang antara lain disumbangkan oleh mereka yang terbabit dalam PRN Sabah.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan mengakui kempen pilihan raya di negeri itu menjadi antara punca peningkatan kes positif baru COVID-19.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");