Berita Hari Ini

Syarikat Bas Ekspres Perlu Sediakan Pemandu Kedua Bagi Perjalanan Lebih 300 KM

KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengingatkan syarikat bas ekspres di negeri ini supaya sentiasa menyediakan pemandu kedua bagi setiap perjalanan melebihi 300 kilometer (km) bagi menjamin keselamatan penumpang.

Ketua Seksyen Operasi JPJ Kelantan Mohd Hasnor Kutik berkata, peraturan itu turut diwajibkan bagi tempoh perjalanan melebihi empat jam.

Jelasnya, peraturan itu bagi memastikan pemandu mendapat rehat yang secukupnya sekali gus mengelakkan kemalangan khususnya kes kematian.

“Sebelum ini, ada syarikat bas dikesan memberikan alasan pemandu sakit sehingga gagal menyediakan pemandu kedua. Ada juga pemandu yang dikesan memandu berseorangan kerana mengejar komisen berbanding memandu dengan pemandu kedua,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan ke atas bas ekspres sempena Op Penguatkuasaan Khas JPJ Kelantan di Terminal Bas Lembah Sireh di sini, hari ini, lapor Bernama.

Operasi itu turut disertai Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Jabatan Imigresen Kelantan dengan disertai 36 pegawai dan anggota.

Mohd Hasnor berkata, sebanyak 34 bas ekspres daripada 11 syarikat pengendali diperiksa dalam operasi itu, yang memberikan penumpuan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 serta kesalahan teknikal seperti tiada pemandu kedua, keadaan brek dan tayar yang tidak mengikut piawaian JPJ.

“Bagi pemandu, kita akan pastikan mereka tidak melakukan kesalahan lalu lintas seperti menggunakan telefon bimbit, menurunkan penumpang di kawasan tidak dibenarkan serta memotong di garisan berkembar. Sekiranya dikesan mereka akan dikenakan tindakan tegas.

“Sebanyak empat kesalahan direkodkan oleh JPJ manakala enam kesalahan dikesan oleh Jabatan Kesihatan melibatkan pemandu yang gagal mematuhi SOP seperti tidak memakai pelitup muka. Bagi Jabatan Imigresen pula, berjaya menahan lima wanita Thailand berusia antara 20 hingga 30 tahun yang tidak mempunyai dokumen sah dan disyaki ingin ke Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya, pada 2019 sebanyak 30 kesalahan membabitkan kesalahan pemandu dan aspek teknikal telah diambil tindakan manakala setakat Sept tahun ini, tujuh kesalahan dikesan dalam Ops Terminal atau Ops Bas Ekspres ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");