Berita Hari Ini

Syor kempen PRK 11 hari saja

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, mencadangkan kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah kelak, diadakan paling minimum iaitu 11 hari.

Wan Ahmad berkata, tempoh itu sudah mencukupi susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 ketika ini, terutama di Sabah, yang mana rakyat negeri itu akan sekali lagi terdedah kepada risiko jangkitan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.

Katanya, walaupun ia hanya PRK yang tertumpu kepada satu kawasan Parlimen, risiko dan bahaya peningkatan penularan adalah sama.

“Penduduk Batu Sapi akan terdedah kepada kemasukan orang dari luar kawasan, yang akan datang berkempen siang dan malam bertemu dengan pengundi Batu Sapi.

“Keutamaan orang politik hanya untuk menang kerusi. Petugas parti yang berkempen dikhuatiri kurang memberi perhatian kepada soal lain.

“Ini terbukti sepanjang tempoh berkempen PRN sebelum ini,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

PRK Batu Sapi akan diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Liew Vui Keong yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 2 Ogos lalu di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, Sabah.

SPR sudah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen itu, semalam dan PRK perlu diadakan dalam masa 60 hari.

Wan Ahmad berkata, seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya semalam, tidak dinafikan PRN Sabah adalah antara punca utama penularan mendadak kes positif COVID-19 ketika ini.

Justeru katanya, walaupun Kementerian Kesihatan dan SPR menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ketika berkempen dan pada hari mengundi kelak, semuanya akan bergantung kepada sikap rakyat yang terbabit di setiap peringkat urusan dan aktiviti pilihan raya nanti.

“Jika rakyat bersikap degil dan tidak ambil peduli terhadap pematuhan SOP yang ditetapkan, bahaya jangkitan virus COVID-19 sukar dibendung.

“Banyak perkara yang berlaku ketika rakyat berkumpul semasa tempoh berkempen dan hari pengundian adalah di luar kawalan SPR, Kementerian Kesihatan dan polis,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");