Perak Hari Ini

Tapak Pelupusan Sisa Buangan Di Ulu Chepor Tiada Lesen

IPOH – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mengesahkan tapak pelupusan sisa buangan yang ditemui di kawasan hutan Kampung Ulu Chepor, dekat sini tidak dilesenkan sebagai tapak buangan sisa berjadual.

Pengarahnya, Rosli Zul berkata berdasakan rekod tanah seluas 0.5 hektar itu tidak mendapat sebarang kelusan dari JAS untuk tujuan tersebut selain tidak mempunyai lesen Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Menurutnya berdasarkan sisatan awal JAS Perak di situ, keadaan tanah sekitar yang stabil dan berumput ia disyaki aktiviti tersebut telah dijalankan dalam satu tempoh lama.

Katanya, pihaknya sedang merujuk Pejabat Tanah dan Daerah Kinta bagi mengenalpasti pemilik tanah berkenaan untuk diambil tindakan lanjut

Jelasnya dua sampel tanah telah diambil di lokasi dan laporan analisis daripada Jabatan Kimia dijangka mengambil masa sebulan untuk mengetahui kandungan bendasing dalam sampel tersebut.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini jika disahkan ia mengandungi logam berat, dan berdasarkan warna pada sampel tanah ia menjurus pada buangan industri.

“Tahap bahayanya pula bergantung kepada kandungan bahan dalam sampel yang diambil. Jika mengandungi elemen seperti merkuri, arsenik dan plumbum sudah pasti ianya bahaya.

“Namun jika elemen seperti tin atau aluminium ianya kurang berbahaya berbanding elemen seperti disebutkan tadi. Oleh itu, siasatan masih dijalankan,” katanya.

Justeru Rosli berkata pihaknya telah mengambil sampel di bahagian hulu dan hilir Sungai Chepor untuk diserahkan kepada Jabatan Kimia bagi mengenalpasti kualiti air di situ.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat JAS Perak di Bangunan Seri Kinta, dekat sini, hari ini.

Sementara itu jelas beliau pemantuan dan kajian kualiti udara akan dilakukan di tapak berkenaan bagi menyiasat kebenaran dakwaan bau yang kurang menyenangkan.

Pada masa sama katanya JAS Perak sedang memantau kawasan tersebut meneruskan siasatan lanjut dan mengenalpasti sebarang petunjuk baru.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 34 B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang mana sekiranya didapati bersalah pihak terbabit berdepan denda denda maksimum RM500,000 dan mandatori penjara.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 34 A, Seksyen 18 dan Seksyen 24 di bawah akta sama.

Semalam media melaporkan sebuah tapak pelupusan bahan buang mencurigakan, disyaki sisa industri, telah ditemui di kawasan hutan berhampiran Kampung Ulu Chepor.

Ekoran itu Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci kerana dibimbangi bahan itu boleh menjejaskan alam sekitar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");