IPOH – Rakyat di setiap lapisan menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa tiada keperluan pada masa ini untuk mengisytiharkan darurat.
Bagi pengusaha perniagaan kecil dan sederhana, Muhd Nasrullah Azam, 34, ia nyata memberi kelegaan buat para peniaga sepertinya.
“Sekarang ini semua peniaga berada dalam situasi ‘baru hendak bernafas semula’, selepas ada kelonggaran dalam perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Disebabkan penularan COVID-19, perniagaan yang besar-besar pun terjejas, apatah lagi kami yang kecil ini. Bayangkan pula darurat dilaksanakan, sudah tentu ramai peniaga kecil yang gulung tikar,” katanya ketika dihubungi PerakToday, hari ini.
Tambahnya dia bersetuju agar semua pihak dapat menghentikan permainan politik sebaliknya memberi fokus kepada kebajikan rakyat yang terkesan akibat wabak tersebut.
“Ahli politik perlu berhenti bermain politik ketika ini. Ramai golongan rakyat yang ketika ini berada dalam keadaan susah dan memerlukan perhatian segera,” katanya.
Selain itu, pengusaha homestay atau inap desa, Nur Faridah Hanim, 41, berkata sekiranya pelaksanaan darurat dibuat ia nyata memburukkan lagi industri pelancongan tempatan.
“Ketika ini ramai pengusaha produk pelancongan berada dalam fasa pemulihan akibat terkesan dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan COVID-19 apatah pula jika darurat dilaksanakan,” katanya.
Jelasnya moratorium yang tamat bulan lalu ditambah dengan sumber kewangan yang diperlukan untuk menampung keluarga akan memberi kesan kepada mereka pada saat yang getir ini.
Sementara itu, bagi pelajar di sebuah institusi pengajian awam, Muhammad Khairul Ammar Ruzaimy, 24, darurat akan memberi kesan terhadap golongan muda yang mahu mencari peluang pekerjaan.
“Ketika ura-ura perlaksanaan darurat dilaporkan sedang dibincangkan kerajaan, kita lihat ia memberi kesan buruk terhadap pelaburan negara. Kita juga kena tahu bahawa disebabkan PKP dan COVID-19 ramai golongan muda yang hilang pekerjaan.
“Bagi mahasiswa yang baru tamat belajar, ia menjadi satu cabaran buat mereka untuk mendapatkan peluang pekerjaan pada masa kini. Justeru darurat bukan perkara baik ketika ini dan saya menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong.
Semalam, media melaporkan Yang di-Pertuan Agong berpendapat tiada keperluan untuk baginda mengisytiharkan darurat di Malaysia atau mana-mana bahagian di dalam negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, setelah berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah merasakan Kerajaan sekarang telah mampu menangani COVID-19 dengan baik.