Perak Hari Ini

Tiada Keperluan Laksana PKPD Di KEMTA, Rakyat Diminta Jangan Panik Dan Jangan Sebar Berita Palsu

IPOH- Penularan COVID-19 di Pusat Tahanan Koreksional (KEMTA) Kamunting adalah terkawal dan belum ada keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperkekatkan (PKPD).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara tersebut diputuskan semasa Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Perak kali ke-6 pada hari ini.

“Jawatankuasa mendapati penularan jangkitan COVID-19 hanya membabitkan satu blok yang dikhaskan kepada tahanan yang berisiko sahaja.

“Usaha bagi memutuskan rantaian penularan di dalam kawasan KEMTA sedang giat dilaksanakan oleh pihak pengurusan KEMTA dengan kerjasama pihak Hospital Taiping dan Pejabat Kesihatan Daerah,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, sebagai langkah kawalan risiko jangkitan kepada pegawai, anggota dan keluarga, pihak pengurusan KEMTA juga telah memperketatkan prosedur penugasan anggota di KEMTA.

“Bilangan anggota yang dikhususkan untuk bertugas di blok ini juga telah dihadkan dan mereka diwajibkan memakai Peralatan Pelindung Peribadi (PPE) semasa bertugas.

“Selain itu, pihak pengurusan KEMTA juga memastikan tiada sebarang kontak di antara anggota bertugas dengan tahanan.

“Pergerakan keluar masuk tahanan juga telah dihentikan bagi mengelakkan penularan baharu,” katanya.

Tambah beliau, rakyat khususnya penduduk di kawasan sekitar Kamunting dan Taiping dinasihatkan supaya tidak panik dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih.

“Kerajaan Negeri menyeru orang ramai untuk terus mengamalkan disiplin norma baharu bagi mengekang penularan COVID-19 di kalangan komuniti.

“Untuk makluman, setakat hari ini tiada penambahan kes positif baharu dalam Kluster Batu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");