Perak Hari Ini

Tidak Terima Sebarang Usul Daripada Pembangkang – Speaker DUN Perak

IPOH – Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, tidak menerima sebarang usul daripada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk daripada pembangkang menjelang persidangan Mesyuarat Kedua, Tahun Ketiga DUN Perak pada Selasa depan.

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata Ketua Pembangkang, Dr Abdul Aziz Bari tidak memaklumkan sebarang usul yang mahu dibentangkan dalam persidangan kali ini.

Justeru beliau menegaskan sekiranya terdapat usul tergempar yang mahu dibahaskan dalam dewan nanti akan ditolak kerana tidak dimaklumkan kepada Pejabat Speaker dalam tempoh 14 hari.

“Apa juga usul yang hendak disampaikan sama ada tergempar atau sebaliknya, mesti mengikut Peraturan Perintah Tetap Dewan dan Undang-undang Tubuh Negeri.

“Jadi setakat ini, sehingga 13 Oktober kita tidak menerima apa-apa usul daripada pembangkang. Sekiranya ada usul yang mahu dibentangkan tanpa dikemukakan dalam 14, jika mengikut Perintah Tetap Dewan, ia akan ditolak,” katanya.

Selain itu katanya Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (Bahagian Pertama) ( Pindaan) 2020; berkaitan Perkara 30, berhubung kelayakan mengundi 18 tahun akan dibentangkan.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini, yang turut dihadiri, Timbalan Speaker DUN Perak, Khalil Yahaya

Dalam pada itu, Zahir berkata persidangan DUN Perak nanti akan diadakan majlis mengangkat sumpah oleh Mohd Zaidi Aziz sebagai ADUN Slim yang baharu.

Mohd Zaidi Aziz

Katanya lagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian COVID-19 menjadi perkara utama sepanjang persidangan berlangsung iaitu pemakaian pelitup muka,  menggunakan cecair pembasmi  kuman serta pemeriksaan suhu badan bagi semua yang terlibat.

Selain kedudukan ADUN akan dijarakkan dalam dewan, semua pihak yang akan menghadiri persidangan berkenaan termasuk petugas dan media diminta untuk membuat ujian saringan ‘swab’ COVID-19 selewat-lewatnya esok.

Mengulas tentang kehadiran media, Zahir berkata hanya media rasmi iaitu RTM dan Bernama sahaja dibenarkan untuk hadir membuat liputan sepanjang persidangan berlangsung.

Katanya pihak media agensi lain dan orang ramai boleh mengikuti perkembangan persidangan itu menerusi siaran langsung di YouTube.

Dalam pada itu, Setiausaha Dewan Negeri, Muhammad Nazri Abdullah memberi jaminan bahawa tiada masalah teknikal yang akan berlaku sepanjang persidangan berlangsung seperti sesi sebelum ini.

“Sistem audio dan visual di Dewan Negeri telah dinaik taraf yang mana pertama kali kita menggunakan kamera ‘internal’, sebagaimana yang digunakan di Dewan Rakyat di Ibu Negara.

“Kita menjangkakan sistem ini lebih baik daripada sebelum ini yang mana seperti kebiasaan kita hanya menggunakan kamera secara konvensional,” jelas beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");