Berita Hari Ini

Umno arah mesyuarat Wanita, Pemuda, Puteri dan bahagian ditangguhkan

Semua mesyuarat atau persidangan perwakilan Wanita, Pemuda, Puteri dan Bahagian Umno diarah agar ditangguhkan serta-merta.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, berkata arahan itu dibuat atas keputusan presiden parti berkenaan, Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

Katanya, Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, juga mempunyai pandangan sama iaitu menangguhkan semua mesyuarat berkenaan serta-merta.

“Ini disebabkan kes positif Covid-19 yang mencecah kepada 260 pada hari ini, kedua tertinggi sejak penularannya.

“Kita tidak boleh mengambil risiko dan kita tidak mahu Umno dipersalahkan,” katanya dalam satu kenyataan petang tadi.

Kebimbangan terhadap jangkitan wabak boleh membawa maut itu semakin memuncak sejak awal minggu ini apabila ia mencatatkan peningkatan ketara, malah mencecah tiga angka beberapa kali.

Malaysia pernah mencatat kes positif sifar sebelum ini.

Peningkatan itu berlaku selepas Sabah mengadakan pilihan raya dengan kebanyakan ahli politik dan penyokong mereka pulang dari negeri terbabit.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii, dan ketua penerangan parti itu, Shahril Hamdan, adalah antara orang yang dijangkiti Covid-19.

Ahmad berkata penangguhan berkenaan akan berterusan sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Arahan ini mestilah dipatuhi. Terima kasih atas kerjasama semua pihak. Keselamatan rakyat adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");