Panasnya Hari Ini

UMNO Pertimbang Semula Kerjasama PN, Keputusan Munasabah – Najib

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan keputusan UMNO mempertimbangkan semula kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) munasabah dan tidak keterlaluan.

Sinar Harian melaporkan beliau berkata, tindakan tersebut mampu membuka ruang lebih besar dan adil kepada UMNO untuk menyumbang kepada usaha pemulihan ekonomi dan membendung Covid-19.

Pendirian itu dinyatakan beliau dalam tulisan di Facebook malam tadi yang turut menyenaraikan sebab anggota akar umbi UMNO tidak berpuas hati dan marah kepada kerajaan PN.

Katanya, kejadian di Sabah telah terus membakar ketidakpuasan dan kemarahan ramai ahli UMNO.

Ini termasuk mengambil kerusi UMNO dan PN meletakkan calon bebas untuk memecahkan undi BN, kenyataan dari ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta perkongsian kuasa yang di lihat berat sebelah apabila Perdana Menteri dan Menteri Kanan daripada Bersatu.

Antara lain yang dibangkitkan ialah UMNO dan BN yang turut dipersalahkan atas sebarang keputusan melibatkan ekonomi dibuat kerajaan PN walhal tidak dilibatkan secara langsung.

“Dalam hal ekonomi, menteri kewangan bukan dari BN atau Pas. Menteri yang menjaga ekonomi dan yang menjaga perdagangan luar juga bukan dari BN atau Pas.

“Begitu juga dengan Khazanah dan Petronas. Tiada seorang pun dari UMNO atau Pas dilantik dalam Majlis Tindakan Ekonomi untuk melawan Covid-19.

“Sebab kita bersama dalam kerajaan PN, suka atau tidak, UMNO dan BN turut dipersalahkan jika ada keputusan ekonomi yang meragukan atau ekonomi bertambah teruk walaupun tiada seorang dari BN atau Pas terlibat dalam sebarang keputusan yang melibatkan ekonomi,” tulis beliau.

Beliau yang juga bekas Presiden UMNO menyentuh situasi apabila UMNO dipersalahkan bagi gelombang ketiga Covid-19 pada masa kini.

“Dari segi pengawalan Covid pula, Majlis Keselamatan Negara menolak cadangan Menteri Kesihatan dari UMNO untuk melaksanakan kuarantin wajib untuk mereka yang pulang dari Sabah sebelum PRN.

“Keputusan MKN untuk mula-mula tidak mewajibkan kuarantin mandatori di pusat kuarantin kerajaan bagi mereka yang pulang dari luar negara serta kegagalan Menteri PPBM mengasingkan tahanan serta SOP yang sepatutnya turut menyebabkan Kluster Sivagangga di Kedah dan penularan amat teruk di Sabah serta beberapa lagi pusat tahanan di Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

“Jika kesilapan ini tidak berlaku, tiada gelombang ketiga Covid ini di Malaysia,” katanya.

Sambil mempertahankan untuk menyokong penuh keputusan parti itu, Najib bagaimanapun menegaskan pendirian yang dinyatakan tiada kena-mengena dengan kes mahkamah dihadapi beliau.

Najib juga berikrar untuk tidak menerima sebarang jawatan menteri sama ada dalam kerajaan PN atau kerajaan baharu selagi pertuduhan dihadapinya belum selesai.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");