Berita Hari Ini

Undur Atau Pecat 2 Menteri Kanan Untuk Tamat Krisis Darurat, Wong Chen Beritahu PM

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen PKR mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sama ada berundur atau memecat 2 menteri kanan bagi menamatkan “krisis darurat” secara rasmi.

Dalam hantaran di Facebook hari ini ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata, wujud cakap-cakap bahawa Muhyiddin dipengaruhi oleh 2 orang menteri kanan tertentu.

Beliau mendakwa, dalam sejarah politik Malaysia, ini merupakan kali pertama Raja-raja menolak usul perdana menteri.

“Sama ada perdana menteri meletak jawatan atau beliau pecat 2 menteri kanan susulan ‘percubaan jahat’ mereka untuk mengganggu perjalanan proses demokrasi di negara ini.

“Perlu ada penamatan rasmi ke atas insiden buruk krisis darurat yang dibuat-buat ini. Harus ada pertanggungjawaban ke atas perbuatan itu atau negara ini akan terus dilanda bencana berikutan permainan politik yang sewenang-wenang,” katanya.

Wong Chen berkata, pembangkang bersedia membincangkan kerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi menyekat wabak Covid-19, selain berunding mengenai pembaharuan dan belanjawan negara lapor FMT.

Kerajaan sebelum ini mencadangkan pelaksanaan darurat bagi menangani ledakan kes jangkitan wabak Covid-19 sejak kebelakangan ini dan menjamin kestabilan politik.

Istana Negara bagaimanapun mengumumkan kemudian bahawa cadangan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berbincang dengan Majlis Raja-raja.

Dalam satu kenyataan, Agong percaya kerajaan berjaya menangani wabak Covid-19 dan tidak adanya keperluan darurat diisytihar di seluruh negara atau mana-mana bahagian di Malaysia.

Ia berkata, Agong juga mengingatkan ahli politik supaya menghentikan permainan politik yang boleh menggugat kestabilan pentadbiran negara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");