Panasnya Hari Ini

Warisan ada kelebihan dalam PRK Batu Sapi, kata penganalisis

KOTA KINABALU: Penganalisis politik percaya Warisan mempunyai kelebihan berbanding parti lain jika ia membuat keputusan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi pada Disember.

Pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sabah Lee Kuok Tiung berkata, walaupun Warisan kalah dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, namun ia mempunyai peluang baik untuk mengekalkan kerusi itu dengan meraih undi simpati kepada mendiang Liew Vui Keong, yang terpilih sebagai ahli Parlimen Batu Sapi pada 2018.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia akan menjadi persaingan sengit jika parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seperti Perikatan Nasional (PN) atau PBS turut bertanding dalam PRK berkenaan.

“Warisan Plus gagal memenangi PRN Sabah kerana prestasi mereka kurang baik di kerusi majoriti Kadazan Dusun Murut (KDM), tetapi keadaan berbeza di kerusi majoriti Bumiputera Islam yang menyaksikan mereka bersaing rapat dengan GRS,” beliau memberitahu FMT.

Lee Kuok Tiung.

Persaingan sengit mungkin berlaku di Batu Sapi kerana majoriti pengundinya merupakan komuniti Bumiputera Islam.

Bercanggah dengan tanggapan bahawa PBS merupakan pesaing terbaik bagi menghadapi Warisan kerana kerap bertanding di kerusi berkenaan pada pilihan raya sebelum ini, Lee berpendapat bahawa PN sebaliknya merupakan ancaman lebih besar.

Ia kerana momentum gabungan yang tercetus daripada PRN Sabah. Ia memenangi 17 kerusi berbanding 14 yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dan 7 oleh PBS.

Kedua-duanya merupakan sekutu dalam GRS.

“Tidak pasti sama ada PBS akan bertanding di kerusi itu, tetapi saya jangka calon PN lebih berkemungkinan bertanding menentang Warisan.

“Walaupun begitu, parti berkenaan sudah pasti akan mengambil kira faktor penularan Covid-19 di Sabah sebelum membuat keputusan (sama ada akan bertanding di kerusi berkenaan),” katanya.

Penganalisis sosiopolitik Awang Azman Pawi di Universiti Malaya juga bersetuju bahawa Warisan mempunyai kelebihan dari segi undi simpati.

Awang Azman Pawi.

“Selain itu, tiada kesan besar kepada PN meskipun kerusi Batu Sapi dimenangi Warisan kerana kerajaan negeri masih berada di bawah pimpinan PN,” katanya.

Beliau tidak melihat kemungkinan PBS mengambil peluang ini untuk merampas balik kerusi tradisinya daripada pembangkang.

Terdahulu, BN, Pakatan Harapan (PH) Sabah dan Parti Cinta Sabah mengumumkan untuk tidak akan bertanding dalam PRK berkenaan yang ditetapkan pada 5 Dis.

Liew meninggal dunia pada 2 Okt kerana jangkitan paru-paru. Beliau memenangi kerusi itu pada 2018 dengan majoriti 4,619 undi mengalahkan calon PBS Linda Tsen Thau Lin dan 2 calon lain.

Terdapat 32,574 pengundi pada masa itu, dengan 73.8% keluar mengundi.

Golongan Bumiputera Islam mewakili 65% pengundi, dengan pengundi Cina 30% dan Bumiputera bukan Islam 4%.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");