KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 648 individu semalam kerana didapati melakukan kesalahan mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu seramai 594 individu dikenakan dikompaun manakala 54 individu lagi direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (331), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (102), tidak memakai pelitup muka (65), rentas negeri atau daerah PKP Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (64), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (60), dan lain-lain (26),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, bekalan barangan keperluan di negara ini masih mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara secara berterusan.
Hasil 654 pemantauan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam mendapati 12 jenis bekalan barangan kekal mencukupi dan mudah diperoleh pengguna.
“Semalam, penguat kuasa KPDNHEP membuat 654 pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan termasuk peruncit (457), pemborong (164) dan pengilang (33).
“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.
“Pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga melakukan 518 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dan mendapati semya premis mematuhi SOP ditetapkan.
“Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri, termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya.
–Berita Harian