Berita Hari Ini

9,167 Kes Positif COVID-19 Berjaya Dikesan Melalui MySejahtera

KUALA LUMPUR – Penggunaan aplikasi MySejahtera menunjukkan keberkesanan apabila berjaya merekodkan sejumlah 9,167 kes positif COVID-19 sejak ia dilancarkan pada 20 April lepas sehingga semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata aplikasi bagi membantu pengurusan pandemik COVID-19 itu telah banyak membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengesan kes-kes positif COVID-19 melalui kaedah penilaian kesihatan kendiri dan pengesanan kontak rapat.

“Sehingga semalam, sebanyak 1,561 kes telah berjaya dikesan dan disahkan positif COVID-19 dengan menggunakan kaedah penilaian kesihatan kendiri.

“Sementara itu, bagi tempoh yang sama sebanyak 7,606 kes telah dikesan positif melalui kaedah pengesanan kontak menggunakan MySejahtera,” katanya dalam kenyataan media mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini, lapor Bernama.

Dr Noor Hisham berkata sejak dilancarkan, aplikasi itu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada semua lapisan masyarakat dan setakat semalam, ia berjaya mencapai 23,953,970 pengguna dan tanggungan berdaftar serta 1,058,853 premis perniagaan berdaftar.

Setakat ini, katanya, MySejahtera telah merekodkan 1.7 bilion jumlah kumulatif daftar masuk ke premis-premis berdaftar menggunakan imbasan kod QR dengan purata 15 juta, daftar masuk sehari.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisam berkata bagi tujuan pengesanan kontak, data MySejahtera yang perlu akan disalurkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk membantu aktiviti lapangan.

“Data itu akan dianalisis bersama-sama dengan penemuan siasatan lapangan dan seterusnya menyumbang kepada aktiviti pengesanan kontak.

“Data pengesanan kontak dikumpul melalui modul MySejahtera Check-In dengan rekod kehadiran pengunjung disimpan melalui imbasan kod QR yang dipaparkan di semua premis,” katanya. 

Memberikan contoh Kluster Utama, beliau berkata seramai 17,260 pengguna telah dikenal pasti melalui aplikasi MySejahtera sebagai pengunjung ke pusat beli-belah terlibat dalam satu tempoh tertentu.

Beliau menjelaskan daripada jumlah itu, seramai 1,343 individu telah dikenal pasti untuk penilaian lanjut oleh PKD dengan 457 orang telah disahkan sebagai kontak rapat kepada kes positif Kluster Utama.

“Ujian persampelan seterusnya mengesahkan seramai 221 kes positif COVID-19 daripada 457 individu yang merupakan kontak rapat.

“Daripada 236 kes positif COVID-19 bagi Kluster Utama yang diumumkan pada hari yang sama, 221 kes berjaya dikesan menggunakan aplikasi pintar MySejahtera (93 peratus),” katanya. 

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata aplikasi MySejahtera turut menerapkan ciri-ciri keselamatan yang mematuhi piawaian global untuk melindungi kerahsiaan dan keselamatan data, dengan data yang dikumpul melalui aplikasi itu adalah bagi tujuan pengesanan kontak sahaja dengan punca kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Perubatan 1971.

“Maklumat peribadi pengguna yang dikumpulkan juga dilindungi oleh Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. Data Check-In yang dikumpulkan akan diarkibkan selepas 30 hari dan akan dihapuskan selepas 90 hari,” katanya. 

Aplikasi MySejahtera turut membantu merungkai 523,000 persoalan pengguna selain berjaya mendapat penarafan 4.7 bintang dalam aplikasi Apple Store dan Google Playstore, kata beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");