Berita Hari Ini

958 kes baru, 3 kematian, 110 di ICU

Bilangan kes baru Covid-19 kembali kepada tiga digit hari ini dengan catatan 958 kes dalam tempoh 24 jam setakat tengahari tadi berbanding 1,290 semalam.

Sabah terus mengatasi negeri-negeri lain dengan 512 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, Kuala Lumpur, jumlah kes positif Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 52,638 kes manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 13,221 kes.

“Tiga negeri yang mencatatkan kes tertinggi pada hari ini adalah Sabah iaitu sebanyak 512 kes atau 53.4 peratus, diikuti Selangor dan Negeri Sembilan yang masing-masing melaporkan sebanyak 153 kes atau 16 peratus.

“Pelaporan kes positif Covid-19 yang tinggi di Sabah berpunca daripada pertambahan kes bagi kluster-kluster terutamanya kluster Sabaru (149 kes) dan peningkatan pengesanan kes dalam kalangan saringan kontak rapat (196 kes).

“Selangor dan Negeri Sembilan pula mencatatkan jumlah kes yang tinggi pada hari ini disebabkan oleh pertambahan kes dalam kluster-kluster sedia ada dan juga kluster baharu,” katanya.

Jumlah kes baru mengikut negeri adalah seperti berikut: Sabah (512 kes), Selangor (153), Negeri Sembilan (153), Kuala Lumpur (46), Pulau Pinang (25), Perak (24), Kedah (19), Johor (9), Kelantan (7), Terengganu (4), Melaka (2), Sarawak (2), Putrajaya (1) dan Labuan (1).

Perlis dan Pahang tidak mencatatkan sebarang kes.

Daripada 958 kes baru pada hari ini, lima adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara. Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa lima kluster baru dikesan hari ini.

Dia berkata terdapat sebanyak 956 kes pulih Covid-19 dan dengan perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 39,088 atau 74.3 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 110 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 42 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan Covid-19,” katanya sambil menambah semua ketiga-tiga mangsa adalah dari Sabah.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 329 kes atau 0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");