Perak Hari Ini

Acara Rasmi Sambutan Keputeraan Sultan Perak Ditangguhkan, Hanya Majlis Bacaan Yassin Dan Doa Selamat

IPOH – Semua acara rasmi sambutan bersempena dengan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Perak pada tahun ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak, susulan penularan jangkitan COVID-19 dalam negara.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin acara tersebut termasuk Majlis Santapan DiRaja, Istiadat Kawalan Kehormatan serta Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia, dan Menjunjung Duli.

Katanya hanya Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat sahaja diadakan di Masjid Sultan Idris Shah II atau Masjid Negeri pada waktu Solat Jumaat hari ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Selain itu Mohd Zahidi berkata Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan untuk mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri kepada 147 penerima.

Namun jelas beliau Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri akan turut ditetapkan pada satu tarikh kemudian bergantung kepada situasi penularan COVID-19.

“Jumlah penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak pada tahun ini adalah terhad jika dibandingkan dengan jumlah penerima pada tahun-tahun lepas.

“Hanya mereka yang benar-benar layak serta memenuhi kriteria yang ditetapkan sahaja yang telah mendapat perkenan Paduka Seri Sultan untuk dikurniakan darjah kebesaran dan pingat pada tahun ini.

“Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak pada tahun ini juga adalah tertumpu kepada pasukan barisan hadapan yang telah banyak berkorban masa dan tenaga, untuk berjuang mengekang penularan wabak pandemik COVID-19, terutamanya di negeri ini.

“Pengurniaan ini diharapkan akan dapat menyuntik dan menaikkan semangat serta moral pasukan barisan hadapan secara keseluruhannya, untuk terus berjuang demi untuk memastikan keselamatan rakyat negeri Perak dari jangkitan wabak pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bersempena dengan sambutan hari ulang tahun Keputeraan Sultan Perak di Laman Seri Ridzuan, di sini, pada Khamis.

Dalam  pada itu beliau meminta agar rakyat di negeri ini dapat mengibarkan Bendera Perak di bangunan, premis perniagaan dan kediaman masing-masing sebagai meraikan sambutan ulang tahun Keputeraan Sultan Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");