Perak Hari Ini
Like

Ahmad Faizal Terima Baik Cadangan Guan Eng Tiada PRK Gerik

November 18, 2020
20 Views
0 Comments
2 minutes read
Ahmad Faizal Terima Baik Cadangan Guan Eng Tiada PRK Gerik

IPOH – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerima baik cadangan supaya parti lain tidak meletakkan calon untuk melawan UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Gerik berikutan kematian ahli Parlimen kawasan itu Isnin lepas.

Menteri Besar Perak itu berkata, dengan jangkitan COVID-19 dalam negara ketika ini semakin meningkat, adalah lebih baik sekiranya semua aktiviti termasuk berkempen dihentikan bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.

“Kita cuba mengelak berlakunya PRK, usaha berkempen dan sebagainya yang boleh mengakibatkan penularan COVID-19. Kita dapati kes-kes positif semakin meningkat dan perhatian harus diberikan untuk menghentikan penularan wabak ini,” katanya ketika sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad ketika ditemui pada majlis sama, turut menyuarakan kebimbangan berlaku penularan COVID-19 sekiranya PRK Gerik diadakan selain tidak mengubah apa-apa kedudukan kerajaan sedia ada.

“Jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan untuk mengadakan PRK tidak ada masalah cuma harapan saya apalah salahnya jika kita mengekalkan calon Barisan Nasional (BN) menang tanpa bertanding.

“Sudah pasti ia akan disokong oleh rakan-rakan dari PAS, Bersatu dan BN serta pihak pembangkang termasuk PKR, DAP dan Amanah.

“Saya berpendapat adalah lebih mulia jika kerusi itu tidak ditandingi dan semua parti dapat berlapang dada,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, menyarankan semua parti memberi laluan menang tanpa bertanding kepada UMNO di Parlimen Gerik kerana menyifatkan PRK yang bakal berlangsung di situ boleh menimbulkan risiko kesihatan dan keselamatan awam berikutan Malaysia berada di tengah-tengah lonjakan tinggi jangkitan Covid-19.

Comments are closed.