Berita Hari Ini

Akhirnya… Ahli Parlimen Bintulu mohon maaf

Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, akhirnya tampil memohon maaf atas keterlanjuran ucapannya ketika perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, pada Rabu lalu.

Duta Khas kepada Perdana Menteri ke China bertaraf Menteri itu, mendakwa tidak terdetik untuk menafikan amalan mulia petugas barisan hadapan, termasuk Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Bagi memastikan perjalanan sidang Dewan Rakyat yang lancar demi kepentingan serta keharmonian negara, saya membuat permohonan maaf sekiranya ada keterlanjuran kata ketika perbahasan Belanjawan 2021.

“Langsung tidak terdetik untuk saya menafikan amalan mulia semua barisan doktor, jururawat, barisan hadapan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan,” kata King Sing menerusi satu kenyataan media hari ini.

King Sing mendakwa, beliau hanya berniat untuk membahas soal COVID-19 yang membimbangkan rakyat supaya dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Saya tidak mahu kerana saya, seluruh urusan Dewan Rakyat yang mulia ini terganggu,” katanya.

Dalam ucapan ketika perbahasan dalam Dewan Rakyat pada Rabu lalu, King Sing yang juga Presiden Parti Demokratik Progesif (PDP) menyifatkan Dr Noor Hisham sebagai individu ‘takut mati’ kerana gagal turun padang khususnya ke Sabah.

Beliau mendakwa, Dr Noor Hisham hanya mencari publisiti menerusi sidang media yang dikendalikan setiap hari dan gagal turun padang menangani pandemik COVID-19 yang melanda negara terutama Sabah ketika ini.

Susulan kenyataannya itu, beberapa Ahli Parlimen terutama daripada pembangkang menuntut King Sing memohon maaf.

Usaha Ahli Parlimen, RSN Rayer mendesak King Sing memohon maaf kepada Dr Noor Hisham mencetuskan kekecohan di antara mereka yang membawa kepada Rayer diarah keluar dewan oleh Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sehari selepas itu, seorang lagi Ahli Parlimen, Lim Lip Eng, digantung daripada Parlimen selama lima hari, selepas mempertikaikan keputusan Timbalan Speaker terbabit.

Ucapan King Sing itu mengundang kecaman pelbagai pihak termasuk pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, menyifatkan kenyataan itu sebagao tidak wajar, mengejutkan dan memalukan.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat, turut menyifatkan kenyataan King Sing mempersoalkan Dr Noor Hisham tidak turun padang sebagai sangat keterlaluan dan merendahkan pengorbanan penjawat awam yang bertungkus-lumus menyekat penularan COVID-19.

Dr Noor Hisham ketika mengulas kenyataan King Sing, menegaskan tidak timbul isu beliau takut mati, kerana dirinya sebagai umat Islam percaya kematian itu boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana jua.

Malah, Dr Noor Hisham turut menegaskan yang beliau sudah melawat Sabah bagi meninjau persiapan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos lalu.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");