Perak Hari Ini

APMM usir tiga bot nelayan Indonesia menerusi Op Benteng di Perak

LUMUT, 9 Nov  — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mengesan dan mengusir tiga bot nelayan Indonesia bagi tempoh tiga hari sejak 5 Nov lepas menerusi Op Benteng di sekitar perairan Perak.

Pengarah Maritim negeri Perak Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata kesemua tiga bot itu bersama 17 kru termasuk tiga tekong warga Indonesia diusir sehingga ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia bagi memastikan mereka tidak terus memasuki perairan negara.

Katanya, langkah itu turut dibuat bagi mencegah dan mengekang penularan COVID-19 khususnya melalui kes import yang dibawa oleh warga asing.

“Bot pertama terdiri daripada lima kru warga Indonesia termasuk seorang tekong diusir oleh Kapal Maritim (KM) Tugau yang melakukan rondaan dan penguatkuasaan Op Benteng di sekitar perairan Perak pada kedudukan 22.88 batu nautika barat laut Pulau Jarak pada 5 Nov.

“Pada 7 Nov pula, KM Tugau mengusir dua lagi bot nelayan asing Indonesia bersama 12 kru warga Indonesia dan dua tekong masing-masing pada kedudukan 16.4 dan 24.7 batu nautika Barat Laut Pulau Jarak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahrizan berkata pihaknya akan terus meningkatkan pemantauan dan memperkukuh sempadan perairan negara khususnya melalui Op Benteng Laut dalam mengekang kemasukan pendatang asing dan jenayah rentas sempadan.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");