Berita Hari Ini

Azmin perlu henti menipu, dakwa Dr M terbabit Langkah Sheraton – Pejuang

Adun Kuang, Sallehuddin Amiruddin berkata Azmin Ali berbohong mengenai dakwaan bahawa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad terlibat dalam Langkah Sheraton sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

“Saya berada di Hotel Sheraton dan dimaklumkan bahawa SD (akuan bersumpah) yang dikumpul tanpa pengetahuan Tun Mahathir dan Datuk Seri Mukhriz.

“(Saya diberitahu bahawa) mereka akan tubuhkan kerajaan baru bernama Perikatan Nasional. Dua calon Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yasin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sallehuddin yang juga anggota jawatankuasa penaja Pejuang berkata Mahathir telah menolak jawatan tersebut dalam kerajaan PN kerana ia bermakna ahli parlimen Langkawi itu perlu bekerjasama dengan pemimpin dari Umno.

Dia berkata, sekiranya Mahathir mengenepikan prinsip dan maruahnya, pemimpin berusia 95 tahun itu sudahpun menjadi perdana menteri kelapan.

“Dangkal dan tak masuk akal Azmin kata idea tubuh PN untuk Tun Mahathir jadi PM. (Walhal) yang bercita-cita besar untuk jadi PM adalah Azmin.

“Ini terbukti apabila krisis MB Selangor 2014, dia sendiri menghantar namanya sebagai calon MB Selangor melalui pintu belakang.

“Sekali lagi terbukti dia juga menghantar namanya sebagai MB Selangor sejurus PH diisytihar menang di Selangor tanpa berunding dengan komponen PH negeri,” katanya.

Tambah Sallehuddin, perkara sama berlaku lagi apabila bekas pemimpin kanan PKR itu meminta Mahathir melantiknya sebagai timbalan perdana menteri PH sebelum ini.

Bagaimanapun, permintaan itu ditolak Mahathir kerana jawatan tersebut telah dijanjikan untuk Wan Azizah Wan Ismail.

‘Rakyat takkan maafkan Azmin’

“Azmin ini ahli politik yang penuh dengan nafsu serakah untuk berkuasa,” katanya sambil mendakwa bahawa kenyataan Azmin tersebut dibuat dengan tujuan untuk menghalang Muhyiddin melantik Presiden Umno, Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri.

“Dengan keadaan kesihatan Muhyiddin sekarang sudah tentu cita-citanya untuk jadi PM akan tercapai,” kata Sallehuddin lagi.

Untuk rekod, kerajaan PN tidak mempunyai jawatan timbalan perdana menteri. Muhyiddin sebaliknya melantik empat orang menteri kanan yang salah seorangnya merupakan Azmin.

Dalam satu kenyataan berasingan, ketua penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin menyifatkan idea penubuhan PN merupakan rancangan licik oleh Azmin dan Muhyiddin.

Katanya, beberapa hari sebelum mesyuarat majlis PH yang terakhir diadakan, Azmin telah memberitahu bahawa terdapat rancangan untuk menyingkirkan Mahathir.

Bagaimanapun, ketika mesyuarat sedang berlangsung, apa yang disebutkan itu tidak berlaku kerana PH memberikan sokongan penuh terhadap Mahathir untuk memutuskan berhubung isu peralihan kuasa.

“Walaupun dakwaan penyingkiran itu tidak terjadi, puak pengkhianat masih mahukan rancangan itu diteruskan.

“Mahathir menegaskan bahawa dakwaan Azmin itu adalah salah, sewaktu mesyuarat majlis tertinggi Bersatu dan baginya ia tidak logik untuk meninggalkan PH apabila PH menyokongnya 100 peratus.

“Muhyiddin masih berusaha untuk meneruskan agendanya dan meyakinkan bahawa Mahathir akan menjadi perdana menteri untuk PN,” katanya.

Menurut Ulya lagi, cadangan tersebut tidak dipersetujui oleh bekas ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bekas timbalan presiden Mukhriz Mahathir dan dirinya sendiri.

”Azmin perlu hentikan naratif yang mengikut kehendaknya. Rakyat tidak akan memaafkan atas apa yang telah kamu lakukan.

“Kesan daripada ketidakstabilan politik ini disebabkan ketamakan Azmin dan Muhyiddin,” katanya. 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");