Berita Hari Ini

Covid-19: Bah Bercham Antara 4 Kluster Baharu Dikesan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti empat kluster baharu yang dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Johor, hari ini.

Harian Metro melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu pertama dikenal pasti adalah Kluster Kapas BJ yang dilaporkan di Hulu Langat, Selangor.

“Kes indeks kluster ini adalah seorang pekerja kilang yang positif Covid-19 hasil saringan pada 18 November lalu.

“Setakat hari ini, seramai 210 individu disaring dengan 76 kes disahkan positif dalam kluster ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kluster kedua dikenal pasti adalah Kluster Prestij yang dilaporkan di Lembah Pantai dan Titiwangsa, Kuala Lumpur.

“Kluster ini membabitkan pekerja sebuah syarikat pembersihan di dua daerah berkenaan. Setakat hari ini, 37 individu disaring dengan 20 kes dikesan positif dalam kluster ini.

“Satu lagi kluster dikenal pasti adalah Kluster Bah Bercham yang dilaporkan Kinta, Perak dengan kes indeks dikenal pasti positif melalui hasil saringan individu pulang dari kawasan berisiko tinggi pada 13 November lalu.

“Setakat hari ini, seramai 137 individu disaring dengan lima kes dikesan positif dan semua mereka dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak,” katanya.

Katanya, kluster keempat iaitu Kluster Kiambang pula dilaporkan di Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru, Johor.

“Kes indeks bagi kluster ini dikenal pasti hasil saringan individu bergejala pada 16 November lalu.

“Setakat hari ini, seramai 131 individu disaring dengan sembilan kes dikesan positif dan kesemua mereka dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 319 kluster dilaporkan sehingga hari ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 165 kluster.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 54 kluster melaporkan pertambahan kes. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Teratai (245 kes), Kluster Penjara Sandakan (215 kes) dan Kluster Kapas BJ (55 kes).

“Enam kluster dilaporkan tamat hari ini iaitu Kluster Umboo, Kluster Bah Mutiara, Kluster Khazanah, Kluster Jalan Pantai, Kluster Bah Bangat dan Kluster Bah Kasturi menjadikan jumlah kluster tamat adalah sebanyak 154 kluster,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");