Perak Hari Ini

COVID-19: Dua Pelajar Sekolah Taayah Dikesan Positif, Empat Bergejala Sesak Nafas

IPOH – Dua pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah di sini disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian calitan atau swab test pada minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, pelajar terlibat masing-masing dari Tingkatan 4 dan Tingkatan 3.

Katanya, sejak kes pertama dikesan membabitkan seorang pelajar sekolah itu pada 22 Oktober lalu, seramai 604 pelajar, guru dan kakitangan sekolah telah diarah menjalani saringan COVID-19.

“Daripada jumlah itu, kita mendapati dua pelajar sah dijangkiti COVID-19. Mereka telah diasingkan dan dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk rawatan lanjut.

“Sementara itu empat pelajar pula telah dikesan mengalami gejala sesak nafas, namun keputusan saringan yang diperolehi menunjukkan kesemua mereka yang berusia antara 14 hingga 17 tahun itu negatif Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Ijtimak Perkaderan Dakwah Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, dekat sini, hari ini.

Tambah Mohd Akmal, susulan kes berkenaan, seramai 558 pelajar lain yang menginap di asrama sekolah tersebut telah diarah menjalani tempoh kuarantin.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 174 pelajar yang dikesan sebagai kontak rapat dan mengalami gejala awal telah ditempatkan di Pusat Kuarantin Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah Hulu Kinta.

“Seramai 372 pelajar telah menjalani kuarantin kendiri di asrama sekolah dan 12 pelajar lagi di rumah.

“Setakat ini keadaan adalah terkawal dan operasi sekolah masih ditutup sebagai langkah pencegahan penularan wabak,” katanya.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sebelum ini telah mengarahkan Sekolah Raja Perempuan Taayah ditutup selepas seorang pelajar Tingkatan 6 Sekolah Izzuddin Shah yang menginap di asrama sekolah itu disahkan positif Covid-19.

Arahan penutupan turut dikeluarkan kepada Sekolah Izzuddin Shah bermula 23 Oktober lepas sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak berpandu kepada kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");