Perak Hari Ini

COVID-19: Jabatan Mufti Perak Nafi Dakwaan SOP Ibadah Belakangkan Hadis Nabi

IPOH – Jabatan Mufti Perak menafikan dakwaan yang menyebut semua prosedur operasi standard (SOP) untuk memutuskan rantaian COVID-19 khususnya dalam menentukan struktur ibadah telah membelakangi hadis Nabi Muhammad SAW.

Dalam satu kenyataan, jabatan tersebut menjelaskan Nabi Muhammad SAW telah memberi gambaran melalui sunnah manhaj atau metodologi yang tepat berhubung langkah pencegahan ketika berlaku sesuatu wabak.

Justeru katanya pihak yang terlibat dalam mengeluarkan fatwa tidak sama dengan orang yang berceramah kerana semua keadaan telah diambil kira dan tidak lari dari Al-Quran, sunnah, ijmak dan qiyas dalam menentukan sesuatu hukum.

Ujarnya lagi, semua pihak tidak dihalang untuk berusaha mengekang penularan COVID-19 termasuk dengan memakan madu atau Habbatus Sauda namun pada masa sama tidak menyalahkan usaha yang dibuat pihak berkuasa agama yang mendapat nasihat daripada pakar.

“Ketika ini pelbagai ketika ini pelbagai kritikan dilontarkan pihak tertentu terhadap keputusan yang telah disepakati oleh golongan ilmuwan yang berautoriti seolah-olah meminggirkan sumber asas Islam.

“Hakikatnya segala keputusan diambil kira melalui suatu perbincangan yang telah dibuat penelitian yang cukup rapi.

“Al-Quran dan as-Sunnah telah meletakkan manhaj yang jelas dalam menentukan struktur sesuatu ibadah. Begitu juga dalam perlaksanaan solat berjemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Ia menggunakan kaedah Qiyas yang terdapat dalam ‘Solat Khauf’ iaitu secara dasarnya solat itu dilaksanakan dalam keadaan meninggalkan perkara yang berkaitan syarat dan rukun atas mudarat yang tidak dapat dielakkan.

“Kaedah ini merupakan ijtihad para ilmuwan ketika mana ancaman wabak masih lagi belum berakhir dan terus memberikan kegusaran kepada seluruh umat Islam,” kata kenyataan itu, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons terhadap ucapan pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim dalam suatu ceramah di Pulau Pinang baru-baru ini yang menyentuh soal tatacara pengawal COVID-19 berkaitan hal ibadat.

Jabatan Mufti Perak menegaskan sebagai institusi yang bertanggungjawab dalam urusan umat Islam, setiap tindakan perlu dinilai dan diteliti sebelum diperkenankan ‘Ulil Amri’ iaitu Sultan Perak, untuk dibenarkan ia dilaksanakan.

Tegasnya lagi semenjak COVID-19 melanda negara, para mufti dan Ahli Jawatankuasa Fatwa negeri-negeri sentiasa berbincang bagi mencapai suatu keputusan dalam mengeluarkan sesuatu pandangan ataupun fatwa.

Justeru Jabatan Mufti Perak menyarankan agar para pendakwah untuk meninggalkan konflik sosial dan berusaha menyemai perpaduan antara rakyat dan pemerintah mahupun pembuat polisi.

“Adalah tidak betul pandangan yang mengatakan apa yang berlaku ini adalah teori-teori konspirasi. Ini kerana data menunjukkan sehingga hari ini sudah 47.8 juta jangkitan COVID-19 di seluruh dunia dan membabitkan 1.2 juta angka kematian akibat wabak sama.

“Antara negara yang banyak dijangkiti COVID-19 adalah Amerika Syarikat, India, Brazil dan Russia. Negara-negara ini adalah negara bukan Islam yang jika sekiranya berkonspirasi sudah tentu negara itu tidak mendapat angka kematian sedemikian,” katanya lagi

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");