Berita Hari Ini
Like

Dedah nombor TAC, Pengusaha Kilang Kopi Rugi Lebih RM80,000

November 18, 2020
16 Views
0 Comments
1 minute read
Dedah nombor TAC, Pengusaha Kilang Kopi Rugi Lebih RM80,000

ALOR SETAR – Seorang pengusaha kilang kopi kerugian RM88,379 selepas diperdayakan seorang individu tidak dikenali yang memintanya maklumat Kod Pengesahan Transaksi (TAC) yang didakwa untuk akaun sebuah perkhidmatan e-dompet, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah Supt Elias Omar berkata sebelum itu, mangsa iaitu lelaki berumur 63 tahun yang tinggal di Yan menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai ‘Norhidayah’.

“Suspek telah memaklumkan bahawa dia tersilap mendaftarkan nombor telefon mangsa ke akaun ‘GoPayz’ miliknya. Suspek kemudiannya meminta mangsa menghantar nombor TAC yang diterima bagi tujuan kemas kini akaun berkenaan.

“Mangsa telah memberikan kesemua nombor TAC berkenaan kepada suspek. Kemudian, pada hari yang sama, pihak bank telah menghubungi mangsa untuk bertanyakan mengenai jumlah transaksi pindahan wang daripada akaun mangsa ke akaun ketiga yang banyak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Elias berkata mangsa yang bimbang telah membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati berlaku 33 transaksi pindahan wang yang keseluruhannya berjumlah RM88,379.

“Mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Yan pada hari yang sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis menasihatkan agar orang ramai tidak menjawab panggilan yang tidak dikenali dan tidak mudah mendedahkan sebarang maklumat peribadi dan akaun bank kepada orang yang tidak dikenali,” katanya.

— BERNAMA

Comments are closed.