Berita Hari Ini

Dibebani Hutang, Pengusaha Bas Harap Bantuan Kerajaan

KUANTAN – Gabungan Bas Malaysia Cawangan Pahang menggesa agar kerajaan campur tangan bagi membantu pengusaha bas yang kehilangan pendapatan sekali gus dibebani hutang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lepas.

Bernama melaporkan Ahli Sekretariat gabungan itu S.Sathies berkata pihaknya berharap kerajaan dapat mengadakan perbincangan dengan syarikat kredit agar memberi lebih masa kepada pengusaha bas untuk melangsaikan hutang mereka.

Beliau mendakwa sekiranya gagal membuat pembayaran dalam tempoh ditetapkan, mereka berdepan risiko kehilangan bas akibat ditarik oleh syarikat kredit.

“Meskipun moratorium diberikan ia hanya untuk tiga bulan sahaja dan diikuti faedah yang tinggi, kami harap kerajaan dapat melakukan sesuatu untuk menolong kami yang terhimpit dengan masalah hutang ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahli gabungan itu Zainal Abidin Mehat pula berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri lain turut menjejaskan mereka untuk menjalankan operasi seperti biasa.

“Pengusaha bas hilang pendapatan tetapi masih mempunyai tanggungan seperti insurans, bayaran kepada Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) setiap enam bulan sekali selain gaji pekerja yang perlu terus dibayar meskipun bas tidak bergerak.

“Kami juga tidak dibenarkan membuang pekerja tetapi dalam masa yang sama, tiada sebarang bantuan diberikan untuk terus bertahan pada waktu genting begini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");