Membawang Hari Ini
Like

Eizlan saman Hans

November 18, 2020
13 Views
0 Comments
3 minutes read
Eizlan saman Hans

Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Seri Eizlan Yusof mengambil tindakan undang-undang ke atas bekas Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac yang didakwa menyebarkan berita palsu mengenainya pada 16 November lalu.

Menerusi peguam cara, Tetuan Shaharudinali Azfarazmi & Co, Eizlan mengenakan tindakan guaman terhadap Hans kerana kesal atas kenyataan yang didakwa memfitnah dan memalukan dirinya.

“Saya menzahirkan kekecewaan atas tuduhan melulu dan tidak berasas dilontarkan oleh bekas Pengerusi FINAS, Hans selaku Ahli Lembaga Pengarah FINAS yang sentiasa berpegang teguh kepada prinsip integriti. Ia sudah mencemarkan nama, imej dan reputasi kononnya pembabitan saya dalam penyalahgunaan kuasa membabitkan syarikat produksi, Excellent Pictures Sdn Bhd.

“Untuk makluman, syarikat berkenaan tiada sebarang kaitan dengan saya sama ada sebagai pengarah mahupun pemegang saham.

“Syarikat ini dikatakan ada menerima geran Dana Kandungan Digital (DKD) daripada FINAS,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Mengulas lanjut, Eizlan berkata, tuduhan dibuat melalui aplikasi WhatsApp Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang mempunyai lebih 200 ahli dalam kumpulan itu pada 16 November lalu.

“Ramai pemain industri dan penerbit handalan dalam kumpulan WhatsApp ini. Saya tak pasti apa tujuan Hans melemparkan dakwaan menerusi medium ini, seolah-olah mahu melakukan serangan peribadi ke atas saya.

“Secara jujur, dakwaan palsu Hans ini sudah menular dan masih berlarutan hingga mencalarkan nama baik, reputasi, dan mengganggu fokus. Saya juga menerima tekanan pelbagai pihak.

“Ini juga memberi kesan kepada kerjaya dan perniagaan saya. Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana imej dan reputasi saya terjejas teruk akibat fitnah ini, khasnya selaku Ahli Lembaga Pengarah FINAS dan kredibiliti sebagai penggiat industri kreatif yang sudah berkecimpung lebih 20 tahun,” katanya.

Berikutan tindakan guaman yang diambil, Eizlan berharap mana-mana pihak yang mahu menyuarakan sesuatu, perlulah menyemak kesahihan berita terlebih dahulu.

“Sekiranya ada yang tidak berpuas hati atau mahu mempersoalkan sesuatu tindakan, datanglah ke FINAS untuk mendapatkan penjelasan. Kami terbuka menerima sesiapa yang mempunyai hasrat bertanya.

“Jangan menabur fitnah atau mengeluarkan tuduhan tidak berasas kerana ia boleh menjatuhkan imej dan kredibiliti seseorang.

“Kami amanah dan telus dalam menjalankan tanggungjawab diberikan kementerian. Contohnya seperti pemberian geran DKD, kami memaparkan nama-nama setiap penerima kerana ia berkaitan dengan wang rakyat dan tanggungjawab yang diberikan.

“Sebagai bekas Pengerusi FINAS, Hans sendiri tahu aturan dan peraturan. Tiada perkara yang disorok daripada khalayak, jadi kalau ada apa-apa yang tidak jelas, datanglah bertanya, bukan memfitnah,” katanya.

Eizlan mengambil tindakan undang-undang sehari selepas Hans mengeluarkan dakwaan berkenaan. Surat sudah pun dihantar kepada Hans.

Sementara itu, Hans memberitahu akan mengeluarkan kenyataan rasmi, esok.

“Kenyataan rasmi akan dikeluarkan esok. Pihak peguam saya sedang meniti kes ini,” katanya menerusi pesanan mesej aplikasi WhatsApp, hari ini.

Comments are closed.