Perak Hari Ini

Gesa Perak Kuatkuasa Larangan Penjualan Arak – Pemuda ISMA Ipoh

IPOH – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ipoh menggesa agar larangan penjualan arak seperti mana dikuatkuasakan di Kuala Lumpur bermula Oktober tahun depan, dapat dilaksanakan di Perak.

Ketuanya, Muhammad Nurfadzli Anuar berkata gesaan itu disifatkan sebagai langkah progresif serta  mendengar suara rakyat yang bimbang akan kesan mudarat oleh arak sehingga boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

“Orang Islam yang selama ini sangat menunggu PAS untuk membawa agenda Islam dan mengharapkan peranan parti itu dalam kerajaan lebih berkesan dalam isu arak ini.

“Oleh sebab itu, langkah yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) harus dicontohi Negeri Perak.

“Ia seiring dengan kenyataan Menteri Besar Perak pada awal Jun lalu yang memberi jaminan bahawa negeri ini juga akan melaksanakan kajian semula terhadap polisi dan dasar penjualan arak di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru katanya satu kajian harus segera digerakkan selain berharap agar semua wakil rakyat termasuk yang bukan Islam dapat senada berhubung dengan cadangan itu.

“Diharapkan agar wakil rakyat Islam serta bukan Islam yang cenderung kepada budaya murni untuk bersepakat mendesak kepada pembaharuan polisi yang lebih ketat serta dapat melindungi rakyat daripada mudarat yang diakibatkan oleh arak, sama ada kepada peminumnya sendiri atau masyarakat sekeliling,” katanya lagi.

Ujarnya kenyataan itu dibuat susulan laporan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang memaklumkan keputusan DBKL untuk tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober 2021 adalah muktamad.

Terdahulu, dilaporkan DBKL telah memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras berkuat kuasa Ahad lalu.

Antara lain, garis panduan tersebut menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");