Perak Hari Ini

Ibu Bapa Diingatkan Pantau Anak Kecil Ketika Musim Tengkujuh – MB Perak

IPOH – Ibu bapa diingatkan untuk terus memantau setiap ahli keluarga khususnya anak-anak kecil tatkala musim tengkujuh melanda sehingga mengakibatkan banjir di beberapa daerah di Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ia bagi mengelakkan daripada berlaku sebarang perkara tidak dingini berikutan bencana tersebut.

“Saya ingin ingatkan bahawa banjir bukan pesta untuk bermain air. Justeru saya menyeru ibu bapa agar terus memantau keselamatan ahli keluarga khususnya anak-anak kecil.

“Bagi keluarga yang tinggal di kawasan berisiko, perlu membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan mematuhi nasihat pihak berkuasa sekiranya diarahkan untuk berpindah,” katanya menerusi klip video berdurasi sekitar 7 minit di laman Facebook beliau, hari ini.

Selain itu Ahmad Faizal turut mengingatkan agar orang ramai sentiasa peka dengan amaran hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan melalui media.

Beliau juga memberi jaminan bahawa Jawatankuasa Bencana Daerah dan agensi-agensi kerajaan sentiasa bersiap sedua dalam memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa terlibat.

Malah beliau juga menyarankan agar pihak korporat, badan bukan kerajaan mahupun individu perseorangan untuk turut sama menyalurkan bantuan sama ada berbentuk keperluan asas mahupun wang ringgit.

Katanya sumbangan berbentuk barangan asas boleh dibuat menerusi pejabat-pejabat daerah manakala sumbangan wang ringgit boleh disalurkan kepada Tabung Bencana Negeri.

Untuk rekod, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak memaklumkan sehingga jam 7 pagi tadi, sebanyak empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu dua di Bagan Serai/Kerian, sementara satu masing-masing di Sitiawan dan Teluk Intan.

Ia membabitkan jumlah keseluruhan 125 keluarga yang terdiri daripada 397 mangsa.

Sementara itu, Menteri Besar mengingatkan agar semua pihak dapat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPB) yang dikuatkuasakan kerajaan.

“Sebahagian daripada kita dilihat semakin alpa dan menandang ringan terhadap wabak yang mengancam nyawa ini.

“PKPB tidak lagi dianggap suatu yang patut dipatuhi. Kita faham ekonomi perlu terus dijana namun, ia perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab.

“Kita tidak seharusnya keluar rumah tanpa urusan penting selain menghadkan pergerakan serta pergaulan yang perlu dihadkan,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");