Membawang Hari Ini

Ibu model Belanda Ivana Smit saman KPN, kerajaan atas siasatan kematian

Ibu model Belanda Ivana Smit memfailkan saman terhadap polis dan kerajaan Malaysia atas dakwaan gagal menjalankan tugas dan cuai dalam siasatan terhadap sebab kematian anaknya.

Ivana ditemui mati di Kondominium CapSquare, Kuala Lumpur pada 7 Dis 2017, selepas jatuh dari sebuah unit yang dihuni pasangan Amerika Syarikat (AS), Alex Johnson dan Luna Almaz. Beliau berusia 18 tahun.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Ibu Ivana Christina Verstappen menamakan ketua polis negara (KPN), pegawai penyiasat ibu pejabat polis daerah Dang Wangi Faizal Abdullah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan sebagai defendan, dalam kenyataan tuntutan yang dilihat FMT.

Peguam SN Nair mengesahkan writ saman itu dihantar kepada semua defendan.

Verstappen berkata, defendan berkenaan gagal menjalankan tugas berkanun mereka dan cuai dalam siasatan kes berkenaan.

Beliau menuntut deklarasi, polis gagal menjalankan siasatan semula terhadap kes pembunuhan yang diperintah Mahkamah Tinggi dan melakukan penghinaan mahkamah terhadap perintah bertarikh 22 Nov 2019 yang dibuat hakim Collin Lawrence Sequerah.

Beliau juga menuntut perintah mandamus kepada KPN untuk menyingkirkan Faizal daripada pasukan petugas siasatan dan membentuk sebuah pasukan petugas baharu untuk menjalankan siasatan.

Verstappen juga mahu pasukan petugas berkenaan melaporkan kepada mahkamah mengenai status siasatan secara berkala.

Beliau juga meminta mahkamah mengarahkan KPN mengemas kini kemajuan dan status siasatan yang dibuka semula kepada beliau dan peguamnya.

Christina Verstappen dan anak perempuannya, Ivana Smit. (Gambar Smit)

Beliau juga menuntut perintah mandamus untuk meminta KPN mengeluarkan waran tangkap kepada Johnson dan Almazkyzy dan mengekstradisi mereka dari AS ke Malaysia supaya disiasat dan mungkin didakwa.

Verstappen menuntut ganti rugi am, teruk serta teladan dan kos atas peguam cara, asas klien dan alasan lain yang dilihat sesuai oleh mahkamah.

Dalam samannya, beliau berkata ia “sukar dipercayai” bagi polis untuk menganggap kes itu sebagai kematian mengejut (SDR) pada hari sama mayat anaknya ditemui dan menyatakan ia melanggar norma siasatan polis.

Beliau berkata, polis tidak menutup unit kondominium yang mana Ivana kali terakhir dilihat dan juga membenarkan Johnson serta Almazkyzy membuat panggilan telefon dari balai polis ketika ditahan, yang mana mereka didakwa menelefon seorang tukang cuci untuk mengemaskan unit berkenaan sebelum pasukan forensik tiba.

Katanya, cara pasangan itu dilepaskan daripada tahanan polis juga menimbulkan keraguan kerana disebabkan “banyak tindakan secara sengaja dan pengabaian” oleh polis, bukti yang penting tidak dapat dikumpulkan.

Verstappen berkata, apabila kes itu dibawa ke Bukit Aman, ia masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut walaupun kebanyakan bukti dan keadaan jelas membuktikan sebaliknya.

Beliau berkata, polis juga gagal memastikan kehadiran Johnson dan Almazkyzy apabila inkues diadakan untuk memperincikan keadaan sekitar kematian Ivana.

Beliau turut menyatakan Faizal, berdasarkan testomoninya dalam inkues, penuh dengan prasangka dan memihak Johnsons dan apabila Mahkamah Tinggi mengkaji semula penemuan koroner yang mengarahkan polis untuk membuka siasatan baharu terhadap kes itu, Faizal termasuk dalam pasukan petugas siasatan baharu.

Dakwanya, pasukan petugas berkenaan tidak memberikan sebarang kemas kini kepada beliau atau pihak berkuasa Belanda.

Verstappen berkata, beliau hanya mendengar daripada polis Belanda dan perkhidmatan pendakwaan negara itu yang polis Malaysia menghubungi mereka bulan lepas untuk mendapatkan salinan laporan bedah siasat dan dokumen lain berkaitan siasatan “apabila dokumen yang diperlukan sudah berada di tangan pihak Malaysia pada 2018”.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");