Berita Hari Ini

Isu Jawatan TPM: Semua Pihak Dalam UMNO Tidak Perlu Desak PM

BAGAN DATUK – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini meminta pemimpin dan ahli UMNO tidak mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mewujudkan semula jawatan Timbalan Perdana Menteri dengan memberikan kuota kepada parti itu.

Presiden UMNO itu berkata, kuasa pelantikan timbalan perdana menteri, menteri dan timbalan menteri terletak sepenuhnya kepada budi bicara Perdana Menteri.

“Spekulasi, tafsiran atau sebarang analisis mengenai jawatan timbalan perdana menteri tidak harus dibincang secara umum walaupun diakui ada dibincangkan dalam mesyuarat parti. Hak pelantikan itu adalah hak Perdana Menteri.

“Mana-mana parti boleh meminta tetapi jauhkan daripada mendesak kerana kita harus menghormati kuasa yang ada di tangan Perdana Menteri,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas bersarapan bersama penduduk setempat di Warung Kopi Atan Deris di Jeti Hutan Melintang di sini, hari ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam satu temu bual eksklusif bersama sebuah akhbar tempatan dilaporkan berkata, isu jawatan timbalan perdana menteri untuk diisi pemimpin UMNO akan dibangkitkan semula sebaik Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat selesai.

Ismail Sabri berkata, pada masa ini tiada pemimpin UMNO diberi jawatan tertinggi dalam Kabinet, melainkan satu daripada empat jawatan menteri kanan yang disandang beliau, meskipun UMNO memiliki jumlah kerusi terbesar dalam kerajaan Perikatan Nasional. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");