Berita Hari Ini
Like

Isu Pendatang Tanpa Izin, Persenda Agama Dibangkit Dewan Rakyat Hari Ini

November 18, 2020
192 Views
0 Comments
1 minute read
Isu Pendatang Tanpa Izin, Persenda Agama Dibangkit Dewan Rakyat Hari Ini

KUALA LUMPUR –  Usaha kerajaan dalam menguruskan isu pendatang tanpa izin dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan sentimen agama antara perkara yang akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Bernama melaporkan berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, isu itu terkandung dalam sesi soal jawab lisan yang masing-masing diajukan kepada Menteri Dalam Negeri.

Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) bertanyakan mengenai status pelaksanaan Pelan Holistik Penguatkuasaan Pendatang Tanpa Izin  yang dirangka untuk jangka masa lima tahun bagi membanteras kebanjiran golongan itu.

Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) ingin tahu, sama ada kerajaan berhasrat untuk meminda akta atau peraturan sedia ada, kepada hukuman yang lebih berat terhadap individu yang menghina, mempersenda, atau memainkan isu agama demi kepentingan tertentu.

Selain itu, Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) bertanyakan Menteri Luar berhubung kedudukan kerajaan terhadap Statut Rom dan kebarangkalian Malaysia akan bersetuju menganggotai Mahkamah Jenayah Antarabangsa, dalam masa terdekat.

Usai sesi itu, perbahasan berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 berkenaan Belanjawan 2021, akan diteruskan untuk hari yang ketujuh.

Sidang Dewan akan berlangsung selama empat jam sehari iaitu mulai 10 pagi hingga 2 petang setiap Isnin hingga Khamis, selain mengehadkan hanya 80 Ahli Parlimen – 41 pihak kerajaan serta 39 pembangkang dan Bebas – yang dibenarkan berada di dalam dewan pada satu-satu masa.

Peraturan itu diperkenalkan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak COVID-19.

Menurut takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Dis.

Komen & Pendapat

Comments are closed.