Panasnya Hari Ini

Isytihar Darurat Untuk Tangguh PRK Dan PRN Bukan Jalan Terbaik – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR: Tindakan memohon perisytiharan darurat sebagai alasan dan cara untuk menangguhkan proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bukan sahaja tidak perlu, tetapi disifatkan sebagai bukan jalan terbaik.

Menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, implikasi darurat dilihat lebih besar jika diisytiharkan berbanding menangguhkan kedua-dua pilihan raya berkenaan.

“Saya memahami kebimbangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menyampaikan perutusan khas petang semalam, tentang pengendalian PRK Sapi dan PRN Sarawak dalam situasi Malaysia masih berdepan dengan suasana pendemik.

“Namun, memohon perisytiharan darurat untuk menangguhkan keduanya bukan sahaja tidak perlu tetapi bukan jalan terbaik,” katanya dalam satu kenyataan, sebagaimana dilaporkan Astro Awani.

Ujar Mohamad, Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan untuk tidak bertanding pada PRK itu dan turut menggesa parti lain memberikan laluan kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) bertanding tanpa dicabar.

Menurutnya, ini sebagai menghormati mendiang Datuk V. K Liew, bekas Ahli Parlimen Batu Sapi dan mengelakkan PRK diadakan waktu ini.

“Jika persefahaman sebegini boleh diusahakan, maka kita boleh memberi laluan kepada Warisan dalam PRK Batu Sapi sebagai permuafakatan nasional mengurangkan impak wabak korona kepada masyarakat. Jika ini berlaku, PRU Batu Sapi tidak diperlukan,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, tempoh matang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ialah pada 7 Jun 2020 dan jika kerajaan negeri berkhidmat sehingga tamat tempoh tersebut, PRN akan diadakan 60 hari daripada tarikh berkenaan.

Dalam perkara ini, jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu membolehkan PRN Sarawak diadakan dalam bulan Ogos 2021.

“Bayangkan implikasi darurat jika diisytiharkan, hanya untuk mengelakkan PRN Sarawak sedangkan ia boleh diadakan paling lewat 10 bulan akan datang.

“Saya sangat meyakini kebijaksanaan Ketua Menteri Sarawak dan pastinya beliau akan membuat keputusan terbaik dengan mengambil kira pelbagai dimensi kepentingan umum sebelum membubarkan DUN Sarawak,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Malaysia mempunyai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bebas dan mampu mengendalikan pilihan raya dalam keadaan apa sekalipun sesuai keperluan Perlembagaan.

“Adalah untuk SPR membuat keputusan bagaimana ia akan mengendalikan pilihan raya dengan protokol kesihatan sewaktu pandemik dan SPR berwibawa memastikan proses demokrasi berjalan dengan sebaiknya.

“Malaysia adalah sebuah demokrasi yang berfungsi dengan baik dan ia mesti terus berfungsi dalam keadaaan paling getir sekalipun.

“Justeru itu, semua pihak mesti menghormati kearifan Yang di-Pertuan Agong untuk menolak darurat, mempertahankan Perlembagaan dan mengiktiraf pencapaian baik kerajaan mengawal pandemik waktu ini,” ujarnya

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");