Perak Hari Ini

Keganasan Rumah Tangga Di Perak Meningkat 58 Peratus

IPOH – Kadar keganasan rumah tangga di Perak mencatatkan peningkatan 21 kes atau 58 peratus sehingga Oktober ini berbanding tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, dalam tempoh sama Perak mencatatkan sebanyak 57 kes berbanding tahun lalu iaitu 36 kes.

Katanya daripada angka tersebut, Daerah Larut Matang dan Selama mencatatkan sembilan kes berbanding tiga kes tahun lalu, Hilir Perak enam kes berbanding sifar, Batang Padang lima kes berbanding satu dan Kuala Kangsar enam kes berbanding lima dalam tempoh sama.

Tambahnya lagi antara daerah lain yang turut menunjukkan peningkatan kes antaranya Manjung enam kes berbanding tiga pada tahun lalu, serta Perak Tengah tiga dan Kampar satu masing-masing berbanding sifar pada tempoh sama.

Sementara itu katanya Daerah Kinta mencatatkan angka penurunan satu kes iaitu 20 kes sehingga Oktober ini berbanding 12 kes pada tahun lalu.

Ujarnya lagi Daerah Kerian turut mencatatkan angka penurunan sama iaitu satu kes berbanding dua dan Hulu Perak tiada kes berbanding satu dalam tempoh sama.

“Sepanjang siri-siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, tentunya sedikit sebanyak timbul pelbagai perkara antaranya ketidaksejahteraan hubungan keluarga.

“Justeru Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa memantau dan memberi bimbingan kaunseling kepada mereka yang terlibat dalam perkara sedemikian.

“Keganasan rumah tangga ini dipengaruhi daripada diri sendiri mahupun persekitaran seperti tekanan dan sebagainya. Namun ditekankan bahawa kerajaan sentiasa memantau perkara ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Klinik Nur Sejahtera di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Perak, Nur Farhana Lee Mohd Zulkifli Lee.

Selain itu Wan Norashikin berkata sehingga Oktober ini, sebanyak 23 kes keganasan rumah tangga telah dirujuk ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) bagi mendapatkan khidmat nasihat.

Sementara 12 kes telah dirujuk kepada pakar kaunselor dan 11 kes dirujuk kepada agensi lain.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa tiada sebarang kes keganasan rumah tangga dicatatkan di Zon B dan Zon C, Taman Meru 2C di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) 14 hari bermula 20 November baru-baru ini.

Namun katanya JKM akan sentiasa bersiap-sedia untuk mengatasi masalah tersebut sekiranya ada dilaporkan berlaku kes sedemikian kelak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");