Berita Hari Ini

Kerajaan ‘terhimpit’ kerana kos gaji tinggi, kata ahli ekonomi

Kerajaan terus dibebani dengan kos gaji tinggi, yang mewakili sebahagian besar belanjawan negara, dan tidak dapat berbuat apa-apa mengenainya, kata ahli ekonomi.

Pengerusi Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) Ramon Navaratnam berkata, negara “terhimpit” dengan peruntukan emolumen dan pencen yang besar.

“Pencen tidak dapat dikurangkan dan anda tidak boleh memberhentikan penjawat awam. Jadi, kita terhimpit dengan ini,” kata bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan kepada FMT.

Dalam Belanjawan 2021 yang dibentang oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz pada Jumaat, emolumen penjawat awam dianggarkan berjumlah RM84.5 bilion, dengan pencen mencecah 11.7% dari jumlah tersebut.

Pada 2020, kos gaji kerajaan adalah RM82.61 bilion dan RM80.53 bilion pada 2019.

“Semuanya berbalik kepada ‘Ops Isi Penuh’ dan ia akan terus berkembang,” katanya, merujuk kepada program pengambilan perkhidmatan awam kerajaan pada 1980-an.

Bagaimanapun, Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) lebih positif dengan berkata, jika tiada tindakan boleh diambil berhubung komitmen kewangan kerajaan sedia ada, maka ia perlu menimbangkan pengurangan kos gajinya dalam jangka panjang.

“Emolumen sahaja sudah meliputi 36% daripada perbelanjaan operasi dan ia meningkat sebanyak RM1.9 bilion bagi tahun 2020,” katanya kepada FMT.

Shankaran berkata, walaupun belanjawan menyokong pemberian tunai kepada kumpulan yang kurang bernasib baik, ia “kurang mendapat sokongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kecuali pelancongan atau mereka yang mempunyai rancangan digitalisasi”

Ketua pegawai esksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Malaysia, Carmelo Ferlito memberitahu FMT, peruntukan besar untuk emolumen dan pencen sebenarnya sudah dijangkakan.

“Ini lebih kurang sama dengan tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Beliau menambah mungkin ada strategi politik berhubung langkah kerajaan memberi insentif lain kepada penjawat awam.

Mengulas mengenai impak keseluruhan belanjawan, Ferlito berkata, kerajaan seharusnya memberik penekanan lebih besar pada inisiatif yang boleh memberikan kesan lebih kekal ke atas ekonomi tanpa perlu membelanjakan lebih banyak wang.

“Saya tak nampak strategi pemulihan ekonomi yang jelas dalam peruntukan belanjawan tahunan. Walaupun ia merangkumi beberapa bantuan yang ‘ad-hoc’ dan bersasaran baik, belanjawan kekurangan inisiatif susbtantif untuk meningkatkan ekonomi,” katanya.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");