Perak Hari Ini

“Kerani Berkenaan Bukanlah Dari Kami”

IPOH – Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Kebangsaan kesal apabila kumpulan pembantu tadbir atau kerani yang dikaitkan berkenaan kes siasatan pegawai kerajaan Gred KP19 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Setiausaha Agungnya, Amir Hamzah Yakat Ali berkata, pegawai gred yang sedang disiasat oleh SPRM tidak termasuk dalam kumpulan pembantu tadbir perkeranian dan kewangan tetapi mereka di bawah skim perkhidmatan lain.

Katanya, tindakan pihak tertentu menyamakan Gred KP19 tersebut sebagai kerani mengundang kecaman orang ramai khususnya masyarakat yang memperlekeh tugas pembantu tadbir di dalam Gred N (pentadbiran) dan W (kewangan).

“Kami bukan kerani yang disebutkan dan gred 19 yang dinyatakan itu bukan kerani. Jadi kami mewakili hampir 200,000 penjawat awam di dalam skim ini menafikan dan memohon agar kenyataan itu ditarik balik atau dikemukakan permohonan maaf secara bertulis kepada kami.

“Perkara ini amat mengecewakan dan kami di semua jabatan kerajaan terkilan dengan penyiaran berita yang tidak pasti lagi individu disiasat itu bersalah atau tidak. Apa yang pasti kami sudah dikecam masyarakat seolah-olah pembantu tadbir yang lakukan perbuatan itu,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pejabat AUEGCAS Perak, di sini hari ini.

Pada masa sama, Amir Hamzah berkata, lebih menyedihkan lagi apabila berita tidak benar itu turut dijadikan bahan jenaka dan satira dalam bentuk komik digital seperti yang tular seolah-olah perkhidmatan pembantu tadbir atau kerani ini korup.

“Paling saya kecewa adalah penularan cerita tidak benar itu berlaku ketika kumpulan skim ini sedang menunggu penambahbaikan gred oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Kami mengharapkan perkara ini diperbetulkan semula kerana bukan sahaja maklumat disiarkan itu tidak tepat malah tak betul pun,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal berita yang menyebut kerani terlibat di dalam siasatan Op Selat oleh SPRM baru-baru ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");