Berita Hari Ini

Kuasa Agong: Antara Prerogatif Dan Nasihat

KUALA LUMPUR – Mutakhir ini, Perkara 40 dan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan menjadi topik perdebatan hangat selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak permohonan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan darurat di negara ini.

Pelbagai justifikasi dan ulasan dibuat oleh pihak yang berkenaan berhubung keputusan “tiada keperluan mengisytiharkan darurat” itu termasuk menyifatkan titah Seri Paduka tersebut sebagai bercanggah dengan Perkara 40.

Keputusan Al-Sultan Abdullah yang disambut baik pelbagai pihak demi melindungi kepentingan negara dan rakyat, turut membawa kepada tindakan perundangan oleh seorang peguam yang memfailkan saman pemula pada 30 Okt, memohon pentafsiran peruntukan Perlembagaan Persekutuan berhubung budi bicara Yang di-Pertuan Agong menolak pengisytiharan darurat seperti yang dinasihati perdana menteri bagi menangani pandemik COVID-19 di negara ini.

Perkara 40 (1) secara jelas menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan.

Persoalannya, dalam hal proklamasi darurat menurut Perkara 150, perlukah Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat perdana menteri?

Menurut pakar Perlembagaan Persekutuan Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain, bertentangan dengan fahaman umum bahawa kuasa raja dibatasi oleh perlembagaan seperti yang dicerminkan oleh istilah “Raja Berperlembagaan”,  seseorang perlu merujuk setiap peruntukan berkaitan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk memahami kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Berhubung Perkara 150, beliau menjelaskan bagi Seri Paduka mengeluarkan proklamasi darurat, baginda  perlu “berpuas hati”, sama ada sedang berlaku darurat besar atau hampir berlaku darurat besar yang boleh mengakibatkan ancaman keselamatan, ekonomi atau ketenteraman awam.  

Jelasnya, “puas hati Yang di-Pertuan Agong” itu ialah pengecualian yang dibenarkan menurut Perkara 40(1) kerana Jemaah Menteri atau seseorang menteri tidak boleh menentukan kepuasan hati Seri Paduka terhadap  kewujudan mana-mana satu keadaan berkenaan melainkan Seri Paduka sendiri.

Bagaimanapun kata beliau, Yang di-Pertuan Agong masih boleh menimbang aspek kewajaran sebelum membuat proklamasi darurat sekalipun baginda “berpuas hati” wujud satu daripada dua keadaan tersebut.

“Dalam hal berkaitan proklamasi darurat, nasihat di bawah Perkara 40(1) tidak terpakai, maka Jemaah Menteri atau perdana menteri hanya boleh membuat permintaan kepada Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya.

“Pemeliharaan prerogatif dalam Perkara 150 penting kerana darurat mengabsahkan suatu keadaan serta perjalanan sistem perundangan di luar amalan biasa. Justeru, kuasa itu perlu dikekalkan dalam prerogatif Seri Paduka,” katanya yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (Undang-Undang Perlembagaan) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.

Selain itu, beliau berkata Perkara 150(8) memastikan keputusan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar oleh mana-mana mahkamah, bertujuan melindungi prerogatif Seri Paduka agar baginda dapat melaksanakan tanggungjawab secara adil.

Wan Ahmad Fauzi juga berpendapat Al-Sultan Abdullah telah memperhalusi cadangan perdana menteri itu sebaik-baiknya dengan memanfaatkan semua saluran yang ada termasuk mengadakan mesyuarat khas Raja-raja Melayu.

Sementara itu, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata isu tafsiran kuasa dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong pernah dibincangkan oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini. 

 “Jika kes ini (proklamasi darurat) dibawa ke mahkamah, maka sekali lagi isu ini akan dapat dibincangkan lagi dan pengakhiran kepada isu ini dapat ditemui. Satu lagi isu yang perlu dilihat ialah sama ada peguam yang membawa kes tersebut mempunyai locus standi atau tidak. Jika mahkamah memutuskan dia tiada standing maka mahkamah akan menolak permohonan beliau,” katanya.

Dalam situasi semasa negara, Nik Ahmad Kamal berpandangan bahawa Seri Paduka telah melaksanakan tugas berlandaskan Perlembagaan Persekutuan atas dasar kepentingan negara dan rakyat.

“Dari aspek tafsirannya, sama ada selaras dengan maksud perlembagaan atau tidak, itu terletak di tangan mahkamah. Ia perlu dilihat dari aspek lain peranan Seri Paduka, iaitu sama ada keputusan Seri Paduka itu untuk kepentingan dan maslahah keseluruhan atau tidak,” tegasnya.

Felow Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)  Universiti Teknologi Malaysia (UTM)  Dr Muhammad Fathi Yusof pula berpandangan hal ‘nasihat’ dan prerogatif merupakan sebahagian daripada dinamika tafsiran perlembagaan. 

“Perlembagaan boleh berubah melalui pindaan di Parlimen. Selain itu perlembagaan juga melalui perubahan dalam proses tafsiran. Kajian baharu, realiti politik, perubahan cara berfikir rakyat dan situasi semasa mempengaruhi bagaimana perlembagaan berfungsi,” kata pensyarah kanan di Pusat Perdana Pengajian Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak UTM itu. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");